Inisiatif baharu bantu penghuni PA, PPR

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui program ‘Urban Renewal’ telah membuat ketetapan untuk menukar Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang usang kepada pembinaan unit baharu yang lebih besar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Panglima Annuar Musa berkata sebanyak 12,000 unit PA dan PPR baharu akan dibina dengan kemudahan yang lebih lengkap.

- Advertisement -

“Sekarang dalam perancangan dan sudah dimulakan 12,000 unit (PA dan PPR) baharu akan dibina dengan keluasan kira-kira 800 kaki persegi dengan kemudahan lebih lengkap.

“Kita merancang dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), sasarannya kira-kira 20,000 unit rumah kos rendah baru akan dibina,” katanya dalam Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Nik Nazmi nik Ahmad [PH-Setiawangsa] yang meminta penjelas berhubung perancangan penaiktarafan PA dan PPR sedia ada agar lebih selesa dan mesra penduduk serta perancangan untuk jangka masa panjang.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata kerajaan juga akan melancarkan lima inisiatif baharu bagi membantu para penghuni rumah PA dan PPR.

“Pertama ialah program ‘My Grocer’ iaitu membawa peluang untuk membeli keperluan harian pada harga lebih rendah. Kedua, ‘My Bus’ diperkenal untuk memastikan penghuni yang terpaksa menghantar anak mereka ke sekolah dapat menjimatkan perbelanjaan kos bas sekolah,”

“Ketiga, program ‘My Food’ iaitu memberi bantuan berkonsepkan foodbank yang lebih tersusun. Keempat, ‘My Medic’ ialah satu program membawa perkhidmatan kesihatan ke PPR di 178 tempat yang sudah dikenal pasti dan kelima, ‘My Job’ bagi memberi peluang penambahan pendapatan sampingan,” katanya.

Jelasnya, program ini akan dilancarkan secara berperingkat di 178 kawasan PA dan PPR bagi meningkatkan keselesaan penduduk.- HARAKAHDAILY 16/7/2020

- Advertisement -