Ulamak dan politik

- Advertisement -

NASIHAT dan tegur adalah tugas asasi

Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya ‘jarimah al-riddah wa uqubatuha’ menyatakan tahap kewajipan ada dua iaitu:

(1) Kewajipan individu yang wajib dilaksanakan oleh setiap individu apabila wujudnya syarat wajib sesuatu perkara ke atas mereka seperti ibadah solat, puasa, menutupi aurat dan sebagainya.

(2) Kewajipan pemerintah yang melibatkan perkara berkaitan perundangan dan kuasa politik. Tanpa memiliki kuasa maka individu tidak boleh melaksanakannya sebagaimana isu yang melibatkan kepada perlunya menggubal dan menggezek sesuatu akta bagi menjadi punca kuasa pelaksanaan sesuatu hukuman perundangan jenayah Islam.

Jelas soal di sini, bahawa bagi memastikan kuasa politik pentadbiran sesebuah negara merupakan kewajipan tahap pemerintah. Pengaruh kepimpinan ulamak sama ada pada posisi berjawatan rasmi atau tidak adalah sangat penting untuk memastikan pemerintah berada di atas jalan yang benar dalam melaksanakan tanggungjawab bagi memastikan kuasa politik digunakan bagi melaksanakan perintah Allah.

- Advertisement -

Al-marhum Ustaz Hj Fadzil Nor antara ucapanya yang dibukukan dalam buku bertajuk ‘Aqidah dan Perjuangan’ menegaskan bahawa antara tugas ulamak haraki ialah menasihati, mengkritik dan menegur para pemerintah terhadap salah laku kuasa politik yang mereka lakukan.

Tegas dan berani berhadapan penyelewengan

Hakikatnya, para ulamak Qairawan adalah tegas dan berani dalam berhadapan dengan pemerintahan Bani Ubaid. Tak pasti di mana atau sumbernya jika ada yang cuba mendakwa bahawa ‘mereka iaitu para ulamak di Qairawan tidak menentang kezaliman’?

Antara contoh ketegasan dan keberanian ulamak di Qairawan menghadapi pemerintahan Bani Ubaid ialah:

Para fuqaha Qairawan yang memboikot Khalaf bin Abul Qahim kerana hubungan khusus dengan para penguasa Bani Ubaidillah dan kebiasaannya menerima hadiah dari mereka, serta karya bukunya yang sengaja ditulis untuk memuji keturunan mereka. Ia secara terang-terangan memuji keluarga Bani Ubaidillah. Melihat sikapnya seperti itu, para fuqaha (ahli fikih) Qairawan mengeluarkan fatwa agar memboikot karya bukunya dan tidak boleh dibaca.

Diceritakan oleh al-Maliki dan ad-Dabbagh, bahawa seorang Gabenor Qairawan, Abdullah, yang dikenal sangat licik dan angkuh, suatu ketika ia mengumpulkan para ulamak di rumah Abu Zaid (seorang penduduk Qairawan). Dia mengancam para ulamak yang berani menentang dirinya. Ketika itu Ibnu Tabban pergi menghadapinya dan berkata:

“Saya menjual nyawaku kepada Allah untuk menentang dirimu. Jika ulamak datang kepadamu, maka terjadilah bencana besar terhadap agama Islam.”

Seorang syeikh ahli fiqah bernama Abu Bakar bin Abdurrahman al-Khulani mengatakan bahawa Syaikh Abu Ishaq berangkat bersama para Syaikh dari Afrika untuk memerangi kelompok Bani Ubaid dan Abu Yazid. Syeikh Abu Ishaq berkata kepada pasukan Abu Yazid:

“Kita dari kelompok ahlul Qiblah (Muslim) akan berhadapan dengan kelompok bukan ahlul Qiblah (kufur). Maka marilah kita bergabung dengan kelompok ahlul Qiblah yang lainnya untuk memerangi kelompok bukan ahlul Qiblah. Apabila kita berhasil mengalahkan mereka, kita tidak boleh mengikuti Abu Yazid pemimpin mereka, kerana ia telah keluar dari Islam. Tetapi kita berharap kepada Allah agar Dia memberikan kepada kita pemimpin yang adil, sehingga mereka semua menjadi pengikut kita (Muslim).”

Keilmuan tidak berpisah dengan hal politik

Mercu keilmuan ummah pada masa kini ialah Institusi al-Azhar yang cukup gah di persada dunia kerana memiliki dan memelihara manhaj dan disiplin ilmu yang sahih dan berkualiti. Manhaj ini membawa masyarakat mengenali Islam yang dibawa oleh Nabi S.A.W.

Abdullah Nasih Ulwan menyatakan antara 4 kekuatan umat Islam ialah al-Azhar. Ini kerana al-Azhar memiliki manhaj ilmu yang sahih. Membawa masyarakat mengikuti al-Quran dan al-Quran itu membezakan haq dan batil.

Para ulamak al-Azhar suatu ketika dahulu digeruni kerana mereka lantang mempertahankan kebenaran. Lihat sahaja contoh kisah yang dinukilkan oleh Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam kitabnya ‘Risalah al-Azhar: Bayna al-Ams wa al-Yaum wa al-Ghadd’ bahawa demonstrasi pada 1795 yang menyaksikan Syeikhul Azhar, Syeikh al-Syarqawi yang bersama rakyat menegur pemimpin, Khurrashid Basha yang mengabaikan tanggungjawabnya dan kebajikan rakyat.

Antara lain, ulamak al-Azhar yang tidak berkopiah Azhar seperti Syeikh al-Mutawalli al-Sya’rawi yang berani secara hadapan menasihati Presiden Mesir ketika itu, Hosni Mubarak di hadapan khalayak penuntut al Azhar.

Syeikh Muhammad al-Ghazali juga cukup digeruni ucapannya yang mampu menggetarkan hati pemuda-pemuda sehingga setiap kali ucapannya pasti akan diekori dengan ratusan di segenap sudut oleh SB yang bersenjata.

Kehebatan al-Azhar juga disebut-sebut dengan ketegasan terhadap penyelewengan kefahaman Islam yang berlaku seperti Jabhah Kibaril Ulamak al-Azhar yang memanggil dan mengenakan tindakan tatatertib ke atas Ali Abdul Raziq yang menulis kitab yang berjudul ‘al-Islam wa Usul al-Hukm’ yang menafikan politik dan negara dalam konteks Islam.

Umar al-Tilmisani, mantan Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin menyatakan bahawa keterlibatan Ikhwanul Muslimin dalam kancah politik negara Mesir sebagai memenuhi tanggungjawab para pendakwah dalam memastikan seruan dan ajakan dakwah lebih luas dan memberikan kesan. Sebab itu kerusi-kerusi dalam Dewan Rakyat adalah umpama ‘mimbar’ malah ia lebih jauh dan memberikan kesan dari mimbar biasa di masjid kerana ‘mimbar’ Dewan Rakyat adalah tempat autoriti menggubal dan memutuskan kuasa sesuatu perkara.

USTAZ DR MUHAMAD ZUHAILI DR HJ SAIMAN
Pengerusi
Lajnah Perkaderan Ulamak Pelapis (LPUP),
Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 15/7/2020

- Advertisement -