Tahfiz Perak tawarkan pengajian Syukbah Hadith

- Advertisement -

IPOH: Buat julung kali, Institut Pentadbiran Islam Perak (INTIM) di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menawarkan bidang pengajian baharu, Syukbah Hadith di Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Negeri Perak.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin berkata, ini adalah seiring dengan inisiatif Kerajaan Negeri dalam memperkasa bidang Tahfiz di peringkat negeri dan negara.

“Kerajaan Negeri memberi sokongan baik terhadap usaha ini demi mempertingkat prestasi bidang tahfiz negeri dan negara. Sambutan serta sokongan baik ini dapat dilihat di peringkat masyarakat dan kerajaan.

“Malah, pendidikan tahfiz ini telah dimasukkan dalam perancangan pendidikan negara setaraf dengan pendidikan bidang lain,” tambah beliau.

Menurutnya, penawaran bidang baharu ini, dapat menarik minat pelajar untuk meneruskan pengajian bidang tahfiz di sini.

Sementara itu, Pengarah JAIPk, Dato’ Mohd Yusop Husin berharap agar program ini menjadi permulaan yang baik bagi Kerajaan Negeri menerapkan program seumpama ini di daerah lain.

“Kita mulakan satu bentuk pengajian yang baharu. Kalau dulu kita akan lihat ada orang yang akan menghafal Al-Quran, kini kita buat satu jurusan lain pula, hadith,” jelasnya.

Pengetua Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Mohamad Firdaus Mohamad Tarmizi menjelaskan, elektif bagi program tahfiz hanya ditawarkan kepada 10 penuntut bagi pengambilan pertama dan akan ditambah bagi pengambilan akan datang.

“Buat kali pertama sepanjang 35 tahun penubuhan INTIM, kini cabang pengajian baharu telah ditawarkan. Setakat ini, seramai 80 pelajar sedang mengikuti pengajian termasuk 10 pelajar yang baru mendaftar untuk pengajian Diploma Syukbah Hadith” jelasnya.

Antara cabang pengajian termasuk Hadith wa Mustolah, Ulum Al-Hadith, Al-Sunnah wa Makanatuha Fi Tashri’ Al-Islami, Jarh wa Ta’dil, Takhrij al-Hadith, Kajian Teks Hadith, Kajian Hadith Hukum dan Kajian Hadith Dhaif dan Maudhu’.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (2)  telah memperuntukkan RM3.47 juta bagi membantu pusat tahfiz swasta seluruh negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu turut mengumumkan peruntukan RM1.66 juta kepada Persatuan Maahad Tahfiz Perak (PEMATAP). – HARAKAHDAILY 15/7/2020

- Advertisement -