Pembeli PPAM tidak puas hati kualiti rumah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majoriti pembeli Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) di Putrajaya berpuas hati dengan lokasi dan harga rumah ditawarkan, namun ramai yang tidak berpuas hati akan kualiti rumah dan mutu respon terhadap aduan berbangkit.

- Advertisement -

Menurut laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018, Siri 3, analisis Audit terhadap maklumat balas daripada 535 responden melibatkan 3,447 borang soal selidik yang diedarkan kepada penghuni PPAM Pudina, Larai dan Palma.

Di mana hasil analisis Audit mendapati 75.33 peratus responden tidak berpuas hati dengan kemudahan tempat letak kenderaan, yang disediakan pemaju.

Manakala sebanyak 47.62 peratus tidak berpuas hati dengan kemudahan lif yang disediakan dan ini disokong dengan data aduan laporan panggil balik (callback report).

Ia menunjukkan sebanyak 77 aduan kerosakan dilaporkan dalam dua bulan lif beroperasi iaitu pada Disember 2018 dan Januari 2019.

“Majoriti responden bagi ketiga-tiga projek berpuas hati dengan lokasi, harga rumah dan kemudahan awam rumah PPAM masing-masing.

“Namun secara khusus mengikut projek PPAM, ketidakpuasan hati daripada segi kualiti rumah PPAM Putrajaya antara 32.89 hingga 88.22 peratus,” demikian menurut laporan itu.

Laporan itu berpendapat, secara umumnya responden berpuas hati dengan perlaksanaan program itu dan bersetuju ia diteruskan.

Namun peratusan tahap kepuasan pembeli didapati masih rendah disebabkan Perbadanan Putrajaya (PPj), kurang memberi penekanan terhadap kualiti kerja pembinaan oleh pemaju.
 
Semakan Audit juga mendapati penilaian hasil (outcome) dan impak terhadap projek PPAM itu belum dilaksanakan, meskipun berdasarkan Arahan No. 1 2010 (Majlis Tindakan Negara), penilaian hasil adalah sebagai sistem amaran awal untuk membantu kementerian menyelaras semula strategi pelaksanaan projek, agar mencapai sasaran hasil yang dihasratkan.

Laporan itu juga mendapati pengurusan aduan bagi PPAM Pudina, Larai dan Palma, adalah kurang cekap kerana masih terdapat aduan yang belum selesai mengikut tempoh yang ditetapkan, selain terdapat isu-isu berkaitan kawasan sepunya (common area), yang ditemui oleh pihak audit, termasuklah fasiliti yang dibangunkan tidak mesra OKU.

Laporan itu juga mendapati terdapat kelemahan dalam proses pemilihan pembeli pada awal pemilihan kerana seramai 23 pemohon daripada Permohonan Fasa 1 dan Fasa 2 belum ditawarkan rumah PPAM Putrajaya, walaupun berpendapatan di bawah RM8,000 dan telah melepasi tapisan kelayakan.

Namun maklumat balas yang diterima daripada Perbadanan Putrajaya kemudiannya mengesahkan, 18 pemohon akhirnya ditawarkan rumah PPAM antara Disember 2016 hingga Disember 2019, manakala lima lagi tidak melepasi syarat kelayakan.

Laporan itu juga berpendapat bahawa terdapat kelemahan dalam proses menguruskan pembeli, iaitu tindakan PPj selaku agensi pelaksana, membeli unit rumah di PPAM adalah bertentangan dengan syarat yang ditetapkan, iaitu pembeli rumah PPAM mestilah anggota perkhidmatan awam.

Analisis audit mendapati penjualan itu telah menyebabkan kerugian kepada kerajaan, kerana telah menanggung subsidi berjumlah RM243,259 untuk tiga unit rumah PPAM, menerusi penyaluran Dana Mudahcara kepada Pemaju dan amalan itu menyebabkan peluang kepada penjawat awam yang berkelayakan, telah digunakan untuk tujuan yang tidak berkaitan.

Namun menurut laporan itu, berdasarkan maklumat balas, pemaju bersetuju untuk menanggung kos subsidi kerajaan ke atas unit yang dibeli oleh PPj dan PPj sendiri berhasrat untuk tidak meneruskan perolehan, bagi rumah yang belum ditandatangani Perjanjian Jual Beli. – BERNAMA

- Advertisement -