Pemandu mabuk: Pindaan akta dalam sidang ini

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengangkutan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 41 hingga Seksyen 45 dalam persidangan Parlimen kali ini.

Menurut menterinya, Dato’ Seri Dr Wee Ka Siong, Jabatan Peguam Negara telahpun menyemak draf Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan 2020 dan RUU tersebut akan mula dibentangkan setelah 17 Julai tahun ini, kemudian dibentangkan di Dewan Rakyat.

- Advertisement -

Kata Wee, pindaan ini akan melibatkan ketiga-tiga komponen hukuman, termasuk kadar denda, tempoh penjara serta tempoh penggantungan lesen memandu kenderaan.

Mengulas lanjut, Wee berkata kerajaan akan turut meminda had kandungan alkohol yang dibenarkan supaya selaras dengan apa yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) iaitu 35mg alkohol dalam 100ml nafas kepada 22mg alkohol di dalam 100ml nafas.

Diikuti dengan 80mg dalam 100ml darah kepada 50mg alkohol dalam 100ml darah serta 107mg alkohol dalam 100ml air kencing kepada 67mg alkohol dalam 100ml air kencing.

“Berkenaan dengan cadangan mengenakan hukuman mati bagi kesalahan menyebabkan kematian akibat daripada memandu di bawah pengaruh alkohol, kementerian berpendapat bahawa kes melibatkan pemandu mabuk perlulah mengikut lunas undang-undang sedia ada.

“Jika kanun keseksaan digunakan untuk menjatuhkan hukuman mati, ia perlu dibuktikan di mahkamah bahawa pemandu mabuk tersebut mempunyai niat untuk membunuh melampaui keraguan munasabah (beyond reasonable doubt).

“Memang kita geram, tetapi kita tidak boleh mengambil tindakan secara melulu supaya pemandu mabuk ini tidak terlepas daripada tindakan undang-undang yang sewajarnya.

“Maka Kementerian Pengangkutan telah mengambil keputusan untuk meminda seksyen-seksyen termasuklah had kandungan alkohol supaya seseorang itu, yang memandu melebihi had yang ditetapkan tersebut akan dikenakan hukuman yang jauh lebih berat” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) dalam sesi pertanyaan soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini. – HARAKAHDAILY 15/7/2020

- Advertisement -