Pelantikan Ahli MPPK mesti penuhi aspirasi FPK

- Advertisement -

AKHIR-akhir ini isu-isu sensitif dalam pendidikan semakin kurang kedengaran sejak berlakunya penjajaran semula pentadbiran baharu Kerajaan Persekutuan mulai 29 Februari 2020. Kerajaan baharu yang diketuai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan penerusan wawasan kemakmuran bersama. Walaupun masih terdapat beberapa isu kecil namun ia tidaklah sampai menimbulkan konflik antara pelbagai kaum dan ideologi malah semua masalah masih terkawal dan seolah-olah terhenti sekejap.

Semasa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran Kerajaan Malaysia, mulai Mei 2018, hampir setiap minggu, isu-isu panas dan sensasi sering terpapar di dada akhbar dan media sosial daripada isu agama, perkauman, serangan politik termasuklah dalam isu pendidikan. Malah dalam isu-isu pendidikan yang timbul, hampir setiap hari, pelbagai pihak bercakap mengenainya dengan pelbagai prasangka tanpa penyelesaian yang konkrit.

- Advertisement -

Sebaik sahaja pertukaran kerajaan baharu pada Mei 2018, rakyat Malaysia dikejutkan dengan naratif baharu dalam dunia pendidikan apabila isu Bahasa Melayu mula dipinggirkan dalam urusan rasmi kerajaan melalui kenyataan media pemimpin utama kerajaan. Pendekatan yang dibawa secara halus ialah demi keperluan masyarakat bukan-Melayu dengan mengambil inisiatif penterjemahan. Isu yang yang menjadi permulaan kerajaan naratif baharu tersebut tidak terhenti di situ sahaja tetapi terus merebak kepada isu lain yang lebih mendasar malah boleh mencabar falsafah dan budaya pendidikan kebangsaan apabila terdapat usaha untuk mengiktiraf sijil United Examination Certification (UEC) dalam pendidikan Kebangsaan.

Tidak cukup dengan itu, ditubuhkan lagi jawatankuasa khas bagi mengkaji isu berkenaan yang dilihat hanya satu helah strategi bagi menghalalkan proses ke arah pengiktirafan sijil tersebut. Siapakah penasihat kepada menteri yang tidak memainkan peranan bagi menjaga identiti Kebangsaan tersebut? Usaha dan keghairahan mereka sebenarnya telah mencabar perkara yang telah termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

Antara isu-isu lain yang telah mengguris pencinta pendidikan ialah mempersoalkan kedudukan pembelajaran mata pelajaran pendidikan Islam dalam peraturan kurikulum Kebangsaan dan penjadualan pendidikan formal di sekolah, mengukuhkan lagi program Dual Langguage Programme (DLP), juga satu helah strategi menghidupkan semula program Pembelajaran dan Pengajaran Sains Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang telah dibatalkan sebelum ini. Semua cadangan dan usaha tersebut telah mendapatkan tentangan daripada tokoh-tokoh pendidikan kebangsaan dan masyarakat umumnya. Penyelesaian melalui Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) hanya wujud di atas kertas sahaja.

Berasaskan tempoh pencapaian kemerdekaan selama melebihi 50 tahun sepatutnya isu identiti Kebangsaan sudah dihayati dengan baik oleh setiap warganegara. Persoalan yang berbangkit di sini, siapakah yang menasihat Menteri Pendidikan? Dalam pengurusan kementerian dan struktur organisasinya, terdapat satu majlis yang dikenali sebagai Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) yang diwujudkan melalui seksyen 10, Akta Pendidikan 1996. Majlis ini berperanan besar memainkan peranan menasihati Menteri khususnya membantu menteri dalam menjayakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Sebenarnya siapakah mereka ini yang menganggotai MPPK yang dilantik sebelum ini? Apakah kesemua mereka benar-benar orang berkelayakan, berwibawa dan memahami aspirasi dan dasar pendidikan Kebangsaan. Tanpa menafikan ketokohan Tan Sri Dr Wan Zahid Noordin sebagai Pengerusi MPPK sebagai individu yang berpengalaman, bagaimana pula dengan kepakaran bidang pendidikan ahli-ahli yang lain? Keanggotaan ahli-ahli semasa MPPK telah dilantik oleh Menteri Pendidikan pada 1 Ogos 2018 iaitu 3 bulan selepas pentadbiran bertukar tangan kepada kerajaan baharu sebelum ini. Benarlah tanggapan awal umum bahawa struktur penasihatan pendidikan hari ini dipengaruhi oleh naratif baharu pendidikan yang tidak tepat dan memperjudikan masa depan negara.

Pendidikan dan pembangunan generasi masa hadapan tidak boleh dijadikan bahan uji kaji untuk meyakinkan naratif baharu. Ini adalah kerana mereka merupakan aset negara yang akan terus memacu negara ke arah yang lebih berdaya maju tanpa mengabaikan tanggungjawab negara yang berjiwa Kebangsaan. Tidak mungkin isu tulisan jawi yang hanya melibatkan 3 halaman muka surat boleh menggemparkan negara sehingga suasana masyarakat kita tidak merasa aman dan selamat. Persoalan seterusnya yang perlu difikirkan ialah apakah peranan MPPK dan mengapa masyarakat meragui berkelayakan dan berpengalaman mereka?

Berbalik kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang amat mementingkan keseimbangan dan keharmonian dari pelbagai dimensi intelek, rohani, fizikal dan emosi, keseimbangan juga seharusnya juga wujud dalam keanggotaan panel penasihat pendidikan yang dilantik oleh Menteri. MPPK perlu didukungi oleh barisan pakar-pakar bidang pendidikan memahami kepentingan pembangunan sahsiah, jati diri Kebangsaan dan keutamaan pembinaan karakter nasional. Kefahaman yang mendalam terhadap dasar dan falsafah pendidikan negara menjadikan pendidikan Malaysia melonjak ke hadapan bagi menghadapi cabaran pendidikan abad ke-21. Komitmen mereka terhadap pendidikan agama Islam perlulah tinggi dan memahami kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Malaysia.

Masyarakat merasa sangat bimbang jika terdapat sebahagian daripada mereka dikaitkan dengan kumpulan yang mesra pemikiran Liberal. Janganlah perjudikan nasib hampir 5 juta murid-murid dengan kecelaruan pemikiran sekumpulan kecil elit pendidikan yang tidak memahami hasrat sebenar Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Menyedari mengenai ketidakserasian ahli-ahli MPPK semasa dengan hasrat dan matlamat pendidikan negara, mohon pertimbangan Yang Berhormat Menteri Kanan Pendidikan untuk menyemak pelantikan keanggotaan ahli-ahli MPPK pada masa ini yang akan tamat pada 30 Julai 2020. Rakyat sangat memerlukan pelantikan ahli-ahli MPPK yang baharu untuk memastikan pendidikan negara berada pada landasan yang betul berasaskan kepada Perlembagaan Persekutuan. Mereka yang dilantik mestilah berkelayakan, bertanggungjawab dan memahami aspirasi Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

YB DATO DR MOHAMED FADZLI HASAN
Pengerusi
Lajnah Pendidikan PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 15/7/2020

- Advertisement -