Jelajah Kerjaya buka peluang kerja anak Perak

- Advertisement -

IPOH: Program Jelajah Kerjaya adalah satu ‘Wake Up Call’ bagi rakyat negeri Perak yang sedang mencari pekerjaan selain mempertingkat kemahiran individu dalam bidang tertentu sebelum memasuki alam pekerjaan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat, Razman Zakaria berkata, mereka yang mencari pekerjaan disaran mempunyai sijil kemahiran sebagai titik tambah bagi mempertingkat daya kompetitif kendiri.

“Selain mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), kita sarankan supaya mereka yang sedang mencari pekerjaan terlebih dahulu mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu sebagai asas sebelum memasuki dunia pekerjaan,” jelas baliau.

Tegasnya, kerajaan akan berusaha untuk melahirkan lebih ramai pekerja mahir dalam pelbagai bidang menerusi inisiatif yang diambil ini bagi kerangka kerja jangka panjang.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri menerusi Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Skuad Ronda akan berada di pusat tumpuan orang ramai untuk bersama dengan masyarakat setempat bagi perkongsian informasi terkini berkaitan.

Ia akan melibatkan maklumat mengenai peluang kerjaya, latihan dan program pembangunan modal insan anjuran Kerajaan Negeri bersama agensi-agensi terlibat.

“Program ini adalah bertujuan menguar-uarkan peluang dan ruang yang ada untuk dimanfaatkan rakyat Perak, khususnya mereka yang pendapatan dan kerjayanya yang terjejas akibat COVID-19.

“Ini sejajar dengan kebimbangan ramai pihak berkenaan hala tuju kerjaya mereka selepas ini,” tambah beliau.

Antara aktiviti program termasuk pendaftaran maklumat pencari pekerjaan atas talian atau manual, temuduga penawaran kerjaya bersama majikan, promosi perkhidmatan yang ditawarkan PASAK bersama maklumat yang disediakan Kerajaan Negeri.

PASAK juga dalam usaha melancarkan platform mencari kerja atas talian (Talent Perak) khusus untuk rakyat negeri Perak bermula Ogos dan layari www.perakpasak.org bagi maklumat lanjut.

Terdahulu pada 12 Jun, Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan peruntukan RM4.3 juta bagi golongan terjejas COVID-19 melalui Program Transformasi Tenaga Kerja terutama bagi pekerja yang telah atau akan diberhentikan. – HARAKAHDAILY 15/7/2020

- Advertisement -