Indeks saham paras terlemah di era PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) gagal menguruskan negara sepanjang tempoh diberi peluang mengambil alih tampuk pemerintahan Malaysia, demikian bidas Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau).

Menurutnya, kegagalan paling besar PH ketika memerintah Malaysia ialah berlakunya huru-hara ekonomi yang luar biasa antaranya kejatuhan paras indeks saham.

- Advertisement -

“Pada 22 bulan pemerintahan PH, paras indeks saham daripada 1,846.51 jatuh ke 1,531 sehingga 1,460,” ujarnya.

Sementara itu katanya, selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil alih kerajaan sebagai Perdana Menteri, indeks saham kembali naik kepada 1,606 dalam masa tiga bulan.

Dalam pada itu, Dr Lee Boon Chye (PH-Gopeng) menidakkan angka fakta dari Shahidan yang dikatakannya sebagai tidak tepat dengan pembetulan paling rendah bukannya 1,460 tetapi 1,219 pada 18 Mac lalu.

Menjawab balas daripada kenyataan tersebut, Shahidan berkata pihak PH sepatutnya berterima kasih kepada beliau kerana tidak mendedahkan kelemahan PH yang menyebabkan bursa saham jatuh.

“Ini tidak boleh dinafikan kerana saya ambil laporan daripada kerajaan. Sepatutnya YB (Boon Chye) ucap terima kasih kepada saya, kerana saya nak sembunyikan yang paling lemah 1,200 (itu),” katanya.

Jawapan Shahidan terhadap Boon Chye menggelikan hati Ahli-ahli Parlimen kerajaan yang merasa lucu dengan reaksi balasnya itu seolah-olah menundukkan Boon Chye.

Dalam pada itu katanya, di bawah pemerintahan Muhyiddin dilihat pasaran kini telah kembali meningkat.

“YAB Pagoh, keyakinan pelabur ia bukan sahaja kepada kita merancang ekonomi tetapi kepada persepsi bahawa ini manusia yang memberikan jiwa dan raganya kepada negara untuk dibangunkan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika gilirannya berucap dalam perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini. – HARAKAHDAILY 15/7/2020

- Advertisement -