YB cakna yatim piatu tinggal sendirian

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Empat beradik yatim piatu yang tinggal menyewa di Taman Serai Permai disantuni oleh ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria, di kediaman mereka, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Tindakan itu dilakukan pihaknya bersama Ahli Jawatankuasa Pusat Khidmat ADUN Gunung Semanggol susulan aduan diterima dari Pengerusi Surau Al Faizin, Ustaz Wan Nadzmi Wan Mohd.

Dalam lawatan itu, Razman berkesempatan menyelami keadaan dan permasalahan empat beradik yang masing-masih masih menuntut di institusi pendidikan dalam negara.

Amirah Syamimi Jusop, 22, ketika ditemui berkata beliau bersama tiga lagi adiknya kini menetap sendirian di rumah sewa sejak kehilangan ibu dan ayahnya yang meninggal dunia pada tahun 2015.

Anak sulong daripada tiga beradik itu kini merupakan pelajar tahun 3 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), manakala adiknya Amirah Syazana Jusop, 20, pula menuntut di Politeknik Sultan Azlan Shah.

Sementara itu jelasnya, Amirah Syazani Jusop, 20, yang merupakan kembar kepada Syazana kini menuntut di Politeknik Seberang Perai dan Amirah Syaffinaz Jusop, 18, pula merupakan pelajar di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.

Razman yang juga merupakan EXCO Negeri Perak ketika lawatan itu menzahirkan rasa simpati dengan keadaan mereka yang masih menuntut dan terpaksa membayar sewa rumah menggunakan biasiswa diterima Syamimi.

Insya-Allah (dari) pihak Pejabat EXCO Pendidikan Perak, (kita) akan berusaha membantu (bagi) memastikan pembelajaran, kelangsungan hidup dan kebajikan keempat-empat beradik ini berjalan dengan baik.

“Bukan itu sahaja, kita juga akan usahakan bantuan khas untuk membantu urusan pembayaran sewa rumah yang selama ini dilunaskan dengan wang biasiswa,” jelas Razman lanjut.

Sebarang pertanyaan ataupun bantuan sumbangan orang ramai boleh disalurkan terus ke akaun Maybank Amirah Syamimi Jusop, 158417216863 atau hubungi beliau di talian 01111260323.

Turut hadir dalam lawatan itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah, Amiruddin Kesmiran dan Yang DiPertua PAS Kawasan Bagan Serai, Abd Aziz Majid. – HARAKAHDAILY 14/7/2020

- Advertisement -