Sanusi, Radhi dilantik Presiden, Naib KFA

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor semalam dilantik secara rasmi sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir. 

- Advertisement -

Pelantikan itu yang dibuat pada kongres luar biasa KFA semalam turut menyaksikan pemain legenda skuad Hijau Kuning, Muhammad Radhi Mat Din menang tanpa bertanding sebagai Naib Presiden KFA.

Bercakap kepada pemberita selepas kongres itu di sini, Muhammad Sanusi berkata beliau berharap semua pihak dapat berganding bahu untuk mengembalikan pasukan tersebut dalam kelompok teratas sukan bola sepak.

 “… kita akan cuba selesaikan semua masalah yang membelenggu KFA terutamanya berhubung isu kewangan,” katanya, menambah pihak KFA juga mempunyai pelan yang dijangka dapat menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain tidak lama lagi. 

Pada masa sama, Muhammad Sanusi berkata KFA juga tidak mampu menilai semula gaji pemain seperti mana pasukan lain. 
Kongres luar biasa itu yang berlangsung pada 10 pagi tadi dihadiri ahli eksekutif dan ahli gabungan KFA. – BERNAMA

- Advertisement -