Projek RTS dijangka bermula Nov – MB Johor

- Advertisement -

ISKANDAR PUTERI: Kerja-kerja pembinaan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dijangka dapat dimulakan pada November depan. 

- Advertisement -

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, ini berikutan semua perkara yang dikehendaki dalam perjanjian projek itu telah pun dapat dipenuhi kedua-dua pihak.

“Saya dimaklumkan semua perkara yang dikehendaki dalam ketiga-tiga perjanjian telah pun dapat dipenuhi. Jadi apabila ia ditandatangani, dalam tempoh tiga bulan kita akan dapat melihat permulaan projek tersebut,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang media selepas melawat Projek Jambatan Sungai Pulai  di sini, kelmarin.

Hasni diminta mengulas mengenai perkembangan projek mega berkenaan yang merangkumi pembinaan landasan sepanjang empat kilometer, menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bharu dan Woodlands di Singapura dengan kapasiti mengangkut 10,000 penumpang, setiap jam.

Projek RTS ini penting kerana dapat memberi kemudahan kepada rakyat Johor yang terpaksa menyeberang ke Singapura untuk tujuan pekerjaan, selain menyelesaikan masalah kesesakan di Tambak Johor.
 
Pembinaan projek RTS sepatutnya bermula tahun lepas, namun tertangguh beberapa kali. Kos baharu projek berkenaan adalah sebanyak RM3.16 bilion berbanding kos asal RM4.93 bilion.

Mengulas lanjut, Hasni berkata depoh penyelenggaraan dan operasi kereta api bagi projek itu yang sepatutnya dibina di Mandai, Singapura telah dipindahkan ke Wadihana, Johor Bahru.

Katanya, pembinaan depoh yang dirancang di tanah berkeluasan antara 2.42 hingga 2.83 hektar itu dijangka dapat membuka kira-kira 500 peluang pekerjaan.

Mengenai cadangan kerajaan Persekutuan untuk membuka semula pintu sempadan bagi membolehkan pekerja Malaysia masuk ke Singapura, Hasni berharap ia boleh dilaksanakan selepas selesai pilihan raya Republik berkenaan.

“Saya yakin dan percaya bahawa usaha kedua-dua negara (Malaysia dan Singapura) akan beroleh satu keputusan yang segera,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -