Pekebun kecil terjejas boleh mohon geran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Individu yang terlibat dalam bidang pertanian dan terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19 boleh memohon geran maksimum sehingga RM20,000 daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

- Advertisement -

Beliau berkata berdasarkan satu soal selidik khas berkenaan COVID-19, didapati 70 peratus individu daripada sektor pertanian yang melibatkan masyarakat luar bandar mengalami pengurangan pendapatan akibat pandemik tersebut.

“Di bawah naungan RISDA, terdapat pelbagai program aktiviti, ada tambahan pendapatan yang mereka boleh dapat. Bagi mereka yang tak dapat, RISDA ada sediakan maksimum RM20,000 geran, bukan pinjaman.

“Bantuan ini untuk mereka yang terjejas akibat pelbagai kesan daripada COVID-19,” katanya ketika sesi soal jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai tindakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam menangani isu kesempitan hidup di kawasan luar bandar, lebih-lebih lagi dengan peningkatan harga barang keperluan harian dan ketidaktentuan harga komoditi getah dan kelapa sawit. 

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) mengenai bagaimana untuk memastikan peruntukan yang diterima KPLB dilaksanakan dengan efektif, Dr Abdul Latiff berkata pihaknya akan bekerjasama dengan semua kerajaan negeri dalam memastikan keberkesanan kos untuk program yang dijalankan. 

“Kami akan bekerjasama dengan negeri-negeri dan memastikan (ia) keberkesanan kos… kami akan pastikan projek dan setiap sen daripada duit rakyat ini kita dapat gunakan dengan baik,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -