Muslimat terima kunjungan hormat Srikandi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Muslimat PAS Wilayah Persekutuan telah menerima kunjungan hormat Srikandi BERSATU Wilayah Persekutuan dalam pertemuan yang dilangsungkan di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, di sini semalam.

- Advertisement -

Pertemuan ini bertujuan untuk merapatkan ukhuwah dan mewujudkan kerjasama antara kedua-dua belah pihak selaku parti pemerintah kerajaan demi manfaat rakyat di khususnya di Wilayah Persekutuan.

Delegasi yang hadir pada kunjungan tersebut dipimpin Ketua Srikandi BERSATU Wilayah Persekutuan, Datin Ema Syuhaili Mohamad Sukar dan Ketua Penerangan Srikandi BERSATU Wilayah Persekutuan, Masyitah Mizi.

Mereka telah disambut pimpinan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan iaitu Ketua dan Timbalan Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan.

Turut bersama adalah Naib Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Sakinah Awang serta Ketua-ketua Muslimat Kawasan dan Srikandi Kawasan Bahagian.

Ustazah Nuridah dalam ucapannya menyeru agar kedua pihak merencanakan kebaikan bersama untuk kebaikan umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia serta meninggalkan legasi yang baik untuk generasi akan datang.

Nasihatnya supaya setiap yang hadir juga sentiasa memanjatkan doa dan melakukan solat hajat agar umat Islam di negara ini sentiasa bersatu padu dalam keadaan politik negara tidak menentu kini tanpa berpecah lagi.

Kedua-dua pihak telah berdialog mengenai situasi politik semasa dan menzahirkan keterujaan dapat bersua muka dengan hasrat untuk terus mengukuhkan kerjasama kedua sayap parti PAS dan BERSATU ini. – HARAKAHDAILY 14/7/2020

- Advertisement -