Luruskan kiblat perjuangan

- Advertisement -

SAYA mula terlibat dengan usrah PAS sejak awal 80-an. Tidak sedikit kesakitan yang dirasai. Diusir, dihalau, difitnah, disingkir, dicantas, diinjak, disisih, disalah tanggap oleh teman-teman sejamaah dan macam-macam lagi. Namun saya tak pernah terfikir untuk salahkan PAS, jauh sekali keluar dari PAS. Yang buat dekat saya begitu ialah orang PAS bukannya PAS. Orang PAS juga manusia, yang punya kelemahan dan kekhilafan. Saya bukan tak pernah menangis. Namun tak pernah sekelumit pun saya terfikir untuk berdendam dengan PAS. Bahkan demi kebaikan PAS, saya sokong teman-teman tadi untuk naik membantu PAS.

Sewaktu saya dalam tahanan selama 3 tahun setengah. Tidak banyak bantuan yang PAS berikan kepada keluarga saya. Sehingga adakalanya anak-anak saya terpaksa mengutip siput-siput di pantai untuk lauk sekeluarga. Bahkan JIM lebih ke depan membantu isteri dan anak-anak saya. Namun saya tak pernah salahkan PAS. Sebab saya kenal PAS sebuah parti yang juga tidak punya apa-apa selain semangat dan keikhlasan ahli-ahlinya. Kembali dari tahanan saya tak masuk JIM. Bahkan saya tetap PAS dan bersama dengan PAS.

Selagi PAS ini jamaah yang berkiblat kepada Allah dan Rasul maka selagi itulah hidup dan mati saya bersama PAS. PAS jadi kuat dan baik bukan kerana saya. Bahkan saya yang mendapat kebaikan dari PAS. PAS akan tetap hidup walaupun saya tiada. Tapi saya tidak akan hidup tanpa roh perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Sebab itu saban waktu saya doakan kesejahteraan PAS. Agar Allah lindungi PAS ini dari kejahatan musuh dan pengkhianatan teman-temannya.

- Advertisement -

Bagi saya kalau nak berjuang maka berjuanglah dengan sungguh-sungguh dan ikhlas. Jangan kerana jawatan. Jangan kerana pangkat. Jangan kerana kepentingan itu dan ini. Luruskan kiblat perjuangan. Yang lain itu adalah kurniaan. Jika Allah beri kita akan dapat walau selaut manusia menyekatnya. Jika Allah tak nak beri pasti tidak akan dapat walau sudah berada di hadapan mata. Kalau mahu tenang dalam perjuangan jangan berjalan secara zig zag. Kaki ke lain tapi mata ke arah lain. Fokus tanggungjawab kita bukan fikirkan urusan Allah.

Saya sampaikan pesanan ini sebenarnya buat meneguhkan tumit saya juga sebagai nasihat kepada abna’ul harakah. Kita baru berada di permulaan kemenangan. Lalu jangan leka sangat. Jangan ghairah sangat. Jangan mula menyiku kawan dan merangkul lawan. Jangan ubah apa-apa yang pernah kita pelajari dari tarbiyah PAS. Jangan berubah sikap apatah lagi niat dan qasad. Ingat Allah sedang melihat… apa pun yang kita rasai dalam jamaah ini jangan sampai kita tinggalkan perjuangan.

Pesanku untuk anak-anak dan adik-adik yang aku kasihi.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 14/7/2020

- Advertisement -