Bomba tubuh Mocsar di Taman Negara Mulu

- Advertisement -

KUCHING: Jabatan  Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak melancarkan penubuhan Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (Mocsar) di Taman Negara Mulu di sini sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi insiden kecemasan di taman negara itu.  

- Advertisement -

Pengarah JBPM Sarawak, Khirudin Drahman @Hussaini berkata insiden seorang pelancong asing warga Belanda dan pemandu pelancong yang lemas di Gua Rusa, Taman Negara Mulu serta kebakaran hutan di Batu Bungan tahun lalu memberikan isyarat kepada keperluan menubuhkan pasukan seumpama itu.

“Idea penubuhan pasukan itu bermula pada 2017 selepas satu siri latihan menyelamat selama seminggu di taman negara itu yang turut melibatkan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM),” katanya dalam satu kenyataan yang diterima di sini. 

Beliau berkata,  seramai 11 orang telah dikenal pasti untuk menganggotai pasukan tersebut yang diketuai Pengurus Taman Negara Mulu, Hein Getsner.

“Pasukan Mocsar ini akan bertanggungjawab sebagai anggota pemadaman sekiranya berlaku kebakaran struktur dan hutan serta bertindak sebagai pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di gunung dan gua,” kata Khirudin.

Mulu merupakan kawasan taman negara yang terpencil terletak di kawasan pedalaman Sarawak, kira-kira 106 kilometer ke timur Miri, bandar raya yang terletak di utara negeri ini.  – BERNAMA 

- Advertisement -