Usul kosongkan jawatan Speaker lulus

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul yang dibawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya Speaker Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof mengosongkan jawatannya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Usul diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen dengan seramai 111 menyokong, sementara 109 lagi menolak selepas dilakukan undian belah bahagi.

- Advertisement -

Sebelum itu, dewan kecoh dengan perbahasan kedua-dua belah pihak, kerajaan dan pembangkang saling bertikam lidah antara pihak yang menyokong dan tidak menyokong usul tersebut.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dato’ Rashid Hasnon memberikan 10 minit kepada Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan usul itu.

Anwar dalam perbahasannya mempersoalkan rasionalnya kerajaan untuk menggantikan Mohamad Ariff selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat dan menyifatkan ia pertama kali berlaku dalam sejarah.

Sementara, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula menyifatkan tiada sebab untuk menukar speaker.

Namun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Takiyuddin Hasan ketika sesi penggulungan menegaskan usul yang dibawa Perdana Menteri supaya Mohamad Ariff mengosongkan jawatannya dibuat berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Malaham katanya, usul itu diterima oleh Mohamad Ariff sendiri pada 29 Jun lalu, bertepatan dengan tempoh yang diberi selama 14 hari sebelum persidangan Dewan Rakyat bermula.

“Saya ingin memaklumkan usul ini dibuat berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan dalam Parlimen,” tegasnya.- HARAKAHDAILY 13/7/2020

- Advertisement -