Tulisan Jawi: Semua pihak harus lebih terbuka

- Advertisement -

SAYA amat bersetuju dan mendukung pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri untuk menjadikan hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’

- Advertisement -

Tulisan Jawi adalah tulisan yang diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai mana yang termaktub dalam Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.

Akta ini menyatakan bahawa tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi, dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.

Tulisan Jawi amat sinonim dengan bahasa Melayu dan ianya adalah sistem tulisan rasmi masyarakat Tanah Melayu.

Inilah tulisan yang diguna pakai oleh semua kerajaan dan kesultanan yang memerintah Alam Melayu dari Tanah Melayu, Kepulauan Filipina, Kepulauan Nusantara sehingga ke timur jauh Indonesia iaitu kepulauan Maluku.

Tulisan jawi adalah tulisan yang digunakan oleh Raja-Raja Melayu apabila menghantar surat atau pun utusan kepada Kerajaan Islam Uthmaniyah yang berpusat di Turki dan juga kepada Raja-Raja dan penguasa Eropah termasuk British dan Portugis.

Tulisan jawi turut digunakan dalam Kanun Melaka dan Kanun Laut Melaka yang menjadi Perlembagaan dan asas tubuh kerajaan Kesultanah Melayu Melaka dalam menguruskan negara, rakyat dan sumber alam.

Malangnya tulisan yang menjadi mercu tanda keagungan Islam Melayu ini mula terhakis dan terpinggir disebabkan perubahan sistem ejaan jawi ke rumi yang diperkenalkan oleh pemerintah pada tahun 60’an.

Usaha untuk melenyapkan tulisan jawi ini sebenarnya telah di mulakan di zaman penjajahan British bermula pada abad ke 20 lagi.

Nama-nama besar seperti C.O Blagden, Van Ronkel dan W.G Shellabear tecatat dalam lipatan sejarah bagaimana peranan mereka dalam melemahkan kekuatan tulisan jawi.

Shellabear umpamanya adalah orang yang bertanggung jawab menterjemahkan Bible kedalam bahasa Melayu dengan menjadikan jawi sebagai asas kepada penterjemahannya.

Beliau mengambil waktu selama 9 tahun untuk menghasilkan terjemahan ini yang siap pada tahun 1912 pihak British juga bekerjasama dengan beberapa orang karyawan tempatan dalam menterjemahkan kita-kitab Melayu klasik yang ditulis dalam tulisan jawi.

Kalau kita telusuri sejarah perubahan tulisan jawi ke rumi kita akan bertemu dengan Sistem Ejaan Rumi Wilkinson (1904) dan Sistem Ejaan Rumi Za’ba (1940) dan Kumpulan Angkatan Sasterawan 50 (ASAS 50).

ASAS 50 ini terdiri dari nama-nama besar yang mana hasil karya mereka dan nama mereka masih dikenang hingga hari ini. ASAS 50 berpegang bahawa pengunaan tulisan rumi akan membawa potensi lebih besar kepada perkembangan kesusasteraan Bahasa Melayu.

Tulisan jawi adalah tulisan Ilmu terutamanya ilmu yang berkaitan denga Islam, banyak sumber-sumber ilmu dan kitab-kitab muktabar yang menjadi rujukan sehingga ke hari ini adalah dalam tulisan jawi.

Hatta ada dalam kalangan mereka-meraka yang ingin menyempurnakan pengajian PhD juga terpaksa merujuk kepada kitab-kitab atau buku-buku yang masih dalam tulisan jawi.

Saya bersetuju bahawa penghapusan tulisan jawi dikalangan umat Islam Melayu akan memberikan kesan buruk terhadap perkembangan Islam dan penganggan Islam dalam kalangan orang Melayu Islam di Malaysia.

Tetapi saya tidak bersetuju bahawa tulisan jawi yang dipelajari oleh bangsa lain akan menyebabkan mereka memeluk Islam.

Tidak ada bukti yang menunjukkan mana-mana individu yang belajar tulisan jawi akan menukar agamanya menjadi muslim.

Dr Zakir Naik yang telah mengIslamkan ribuan manusia tidak pernah menggunakan tulisan jawi, bahawa beliau menggunakan tulisan dan bahasa Inggeris.

Begitu juga Cat Steven seorang penyanyi rock British yang telah memeluk Islam serta memakai nama Yusuf Islam, dimana beliau juga telah mengislamkan ribuan manusia juga tidak menggunakan tulisan jawi bahkan menggunakan tulisan dan bahasa Inggeris seperti Dr Zakir Naik.

Islam yang dikembangkan di negara China dan India apakah dengan tulisan jawi. Begitu juga di Eropah dan bahagian lain dunia.

Sekiranya ada pendapat mengatakan bahawa belajar tulisan jawi akan menjadi Taliban, nah apakah belajar tulisan Mandarin juga akan menyebabkan kita menjadi Komunis?

Bagaimana anak-anak orang Islam Melayu yang belajar SRJK juga turut berubah agamanya?

Inilah tuduhan jahat dan sentiment yang cuba dimainkan oleh orang-orang tertentu dengan tujuan untuk meraih kepentingan politik semata-mata.

Mereka tidak sedar sentimen yang mereka tiup akan memberi kesan ketidak harmonian hubungan antara kaum. Lebih malang lagi mereka-mereka yang tidak mempunyai kepentingan politik akan turut terpalit dengan sentimen ini.

Oleh itu adalah tidak wajar dan keterlaluan sekiranya ada mana-mana pihak yang cuba menjadi jagoh untuk menolak usaha murni kerajaan untuk mengembalikan semula tulisan jawi kedalam dada rakyat Malaysia khasnya orang-orang Islam Melayu. Tulisan jawi adalah permata Melayu yang telah hilang, harus dikembalikan.

Suatu yang amat baik sekiranya tuisan jawi juga difahami dan boleh dipraktikkan oleh mereka-mereka yang bukan bergama Islam.

Begitu juga tulisan tamil dan mandarin kepada orang-orang Islam Melayu. Supaya asimilasi budaya dapat difahami dengan baik selagi mana tidak melanggar batas-batas aqidah.

Atas kesedaran ini seharusnya seluruh rakyat Malaysia perlu menyokong mana-mana usaha untuk mengembalikan semula keagongan tulisan jawi dan menolak sebarang sentimen yang dimainkan terutamanya oleh orang-orang politik semata-mata untuk kepentingan politik dan peribadi mereka.

Parti-parti politik harus bersikap lebih terbuka dalam menangangi isu tulisan jawi ini demi untuk kebaikan negara dan rakyat Malaysia.

Keharmonian kaum haruslah diutamakan berbanding dengan kepentingan politik meraih sokongan sesuatu kaum.

BAKRI JAMALUDDIN

Ketua Penerangan PAS Melaka- HARAKAHDAILY 13/7/2020

- Advertisement -