Tangani rasuah: PH lebih teruk – Dr Riduan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kaedah Pakatan Harapan (PH) menangani kes-kes rasuah jauh lebih teruk berbanding dengan Perikatan Nasional (PN) yang menerajui negara.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor berkata, di awal pemerintahan PH, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diarahkan supaya menggeledah rumah bekas Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak ketika di bulan Ramadan.

Rumah Najib dan rumah ibunya digeledah SPRM pada tahun 2018 ketika awal-awal pemerintahan PH susulan penyiasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana 1MDB.

“Kita lihat di awal pemerintahan PH, apa yang dibuat kepada Dato’ Seri Najib dan keluarganya lebih dahsyat.

“Kalau kita ingat di bulan Ramadan, penguatkuasa geledah rumah Najib termasuk ibu kepada Najib yang juga orang nombor satu negara yang menjadi isteri kepada almarhum Tun Razak mantan Perdana Menteri.

“Apa yang dibuat ianya lebih memalukan, menghina dan cuba mengheret persepsi bahawa Najib telah bersalah.

“Itu jauh lebih teruk sebenarnya, ia berlaku di awal pemerintahan PH,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, pada Sabtu.

Riduan berkata demikian bagi mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAN, Mohd Hatta Md Ramli yang mengkritik tahanan reman SPRM yang dikenakan terhadap setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu adalah keterlaluan dan tidak profesional.

Dakwa Mohd Hatta, tindakan pengeledahan itu dilaksanakan penguatkuasa SPRM dengan membawa bersama pegawai Mohamad itu tanpa mengemukakan waran geledah kepada pegawai keselamatan Wisma Amanah Negara.

Walau bagaimanapun Riduan menyifatkan SPRM telah mengambil tindakan sewajarnya.

“PH pernah ada kes cuba dipendamkan. Kalau kita lihat kenyataan pemimpin PAN, Mohd Anuar Mohd Tahir ketika itu adalah Timbalan Menteri Kerja Raya pernah memaklumkan isu bekas pegawai kanan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang disiasat SPRM sebelum ini telah selesai.

“Jadi ini kita pelik bagaimana dalam keadaan siasatan tengah berjalan tiba-tiba kes selesai?” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan inilah masa terbaik kepada SPRM di bawah kerajaan PN untuk menunjukkan ketelusan dalam usaha menangani gejala rasuah di negara ini.

Tambahnya, tidak terkecuali isu terowong di Pulau Pinang dan isu-isu lain.

“Saya difahamkan banyak lagi isu yang akan digeledah, isu-isu itu akan dibuka semasa 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan,” tambahnya.

Pada 8 Julai lepas, SPRM mengesahkan telah menggeledah Wisma Amanah Negara dan menahan setiausaha politik bekas Menteri Pertahanan.

Jelas SPRM dalam satu kenyataan, tindakan terbabit dibuat bagi menyiasat dan mendapatkan keterangan untuk membantu siasatan rasuah membabitkan projek secara rundingan terus di Kementerian Pertahanan bernilai lebih 65 juta.

Siasatan awal mendapati pegawai itu dipercayai menerima rasuah bernilai jutaan ringgit daripada sebuah syarikat sebagai balasan mendapatkan projek itu sekitar Ogos 2019. – HARAKAHDAILY 13/7/2020

- Advertisement -