Pembangkang putar belit usul ganti Speaker

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Usul pertukaran Speaker dan Timbalannya yang dibawa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Dewan Rakyat menjadi hangat apabila pihak pembangkang sengaja memutar-belitkan Undang-undang yang terdapat di dalam Perlembagaan Malaysia.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Arau, Dato’ Sri Dr. Shahidan Kassim berkata, pertukaran jawatan tersebut adalah perkara yang dipersetujui oleh speaker itu sendiri sekaligus menempelak tuduhan yang dibuat oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kita kena ingat, usul ini diterima oleh Speaker (Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof), kalau dia tak terima, kita tak bincang dah. Makna kata dia bagus. Saya puji kepada Speaker kerana terima usul ini dan kita berbahas.

“Bila kita tukar kerajaan, macam-macam kita buat, kita pilih Pesuruhjaya SPRM bukan daripada pegawai kerajaan (seperti kerajaan terdahulu melantik Latifah Koya sebagai Pesuruhjaya SPRM).

Shahidan menambah, usul tersebut juga dibuat susulan tindakan melulu mantan Perdana Menteri itu meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Semua ini berlaku kerana Tun, disebabkan Langkawi (Tun Dr. Mahathir Mohamed) berhentilah yang menyebabkan berlaku pertukaran Speaker.

“Kami puak-puak Barisan Nasional, PAS serta GPS, kami diminta untuk menyokong Tun sebagai Perdana Menteri tetapi malangnya Tun lari, u-turn.

“Tun lari (maka) kami memilih orang lain sebagai Perdana Menteri, sepatutnya Tun jangan berhenti, Tun cadanglah Port Dickson (Dato’ Seri Anwar Ibrahim) ke dan sebagainya.

“Bila Tun berhenti, apa pilihan yang ada, kami mencadangkan Pagoh (Tan Sri Muhyiddin Yassin) sebagai Perdana Menteri.

“Apabila berlaku pertukaran, sudah pasti berlaku pertukaran-pertukaran yang lain termasuklah apa yang kita buat sekarang ini,” jelasnya di Sidang Rakyat pagi tadi.

Malah usul ini turut dipersetujui oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Dato’ Seri Bung Mokhtar Radin yang lancang menuturkan kata-kata mencantas segala tuduhan tidak berasas pihak pembangkang terhadap kerajaan.

“Apa yang (ahli Parlimen) Arau cakap memang betul lah, semua punca ini bermula daripada (Ahli Parlimen) Langkawi, Agong (Yang di-Pertuan Agung) dah cakap (Ahli Parlimen) Langkawi jangan berhenti, (tetapi) dia berhenti juga.

“Dia (Tun Dr. Mahathir Mohamed) berhenti mesti cari pengganti, kami tidak paksa Tun berhenti, kami mahu Tun lagi tetapi sudah berhenti, (kami) terima lah.

“Kemudian, sekarang sudah menyesal, kerajaan baru sudah ditubuhkan, maka Perdana Menteri hendakkan pasukan dia yang baharu, bukan soal apa salah, dulu (pun) Tun lantik juga SPRM Latifah Koya outsider (orang luar), Tommy Thomas (Peguam Negara) macam-macam lah, tak juga kita pertikaikan, kita tak marah pun.

“Kita bukan marah dengan Speaker yang ada tapi Perdana Menteri nakkan Speaker yang sehaluan dengan hala tuju dia, hala tuju kerajaan untuk kepentingan rakyat,” tegasnya.

Walau bagaimanapun, keputusan undian telah dibuat oleh Dewan Rakyat dan usul diterima dengan berpihak kepada kerajaan yang mendapat jumlah undian sebanyak 111, manakala yang menolak seramai 109 undian.

Persidangan yang ditangguh pada jam 1.10 petang disambung semula pada jam 2.30 dengan speaker baharu, Azhar Azizan Harun dilantik sebagai Speaker sementara ahli Parlimen Penggerang, Dato’ Seri Azalina Othman Said sebagai timbalan- HARAKAHDAILY 13/7/2020

- Advertisement -