MARDI galak petani tanam durian hibrid

- Advertisement -

KUALA KANGSAR: Pengusaha atau bakal pengusaha dusun durian disaran menanam durian hibrid MDUR 78, MDUR 79 dan MDUR 88 yang mempunyai potensi pasaran menggalakkan selain dapat memberi hasil hanya dalam tempoh empat hingga lima tahun.   

- Advertisement -

Pengarah Pusat Penyelidikan Hortikultur MARDI, Dr Johari Sarip berkata pemerhatian agensi itu mendapati ketiga-tiga varieti tersebut yang dihasilkan menerusi kacukan induk D24 dan D10, amat digemari peminat durian di negara ini.

Terutama menurutnya, MDUR 88 kerana mempunyai isi manis berlemak dengan warna kuning keemasan dan sedikit melekat di kulit.

“Kita hasilkan lebih 10,000 prototaip hibrid baharu dan berjaya menghasilkan tiga klon baharu yang sangat berpotensi seperti MDUR 78 (D188) dan MDUR 79 (D189) pada 1990 serta MDUR 88 (D190) pada 1992,” katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui Bernama di Duriotourism MARDI Kuala Kangsar, di sini baru-baru ini. 

Menurutnya kesemua benih durian tersebut yang dijual pada harga RM20 sepokok boleh didapati di pusat penyelidikan MARDI di Kuala Kangsar dan Serdang. 

Buah yang dihasilkan adalah bermutu tinggi dan setanding dengan Musang King, katanya, menambah pengusaha dusun durian digalak menanam lebih daripada dua klon durian bagi mengelak serangan penyakit.
 
Sementara itu, Johari berkata MARDI mula membangunkan kajian baka durian secara aktif bermula pada awal 1970-an menggunakan  D24 dan D10 yang mempunyai ketahanan terhadap penyakit seperti ulat pengorek batang sebagai induk.

Menurutnya MARDI merancang untuk memperluas kawasan penanaman klon-klon baharu selain memperhebat penyelidikan dan pembangunan untuk tanaman itu seperti pembajaan yang tepat bagi setiap klon durian bagi memastikan penghasilan buah bermutu tinggi. 

“Kajian terhadap durian penting kerana kita perlukan durian yang berkualiti bagi menembusi pasaran tempatan dan pasaran eksport kerana trend eksport durian ke Singapura, Indonesia, China, Hong Kong, Australia dan United Kingdom meningkat sehingga RM92 juta setahun,” katanya.

Mengenai Duriotourism MARDI Kuala Kangsar, Johari berkata lebih 1,000 pokok durian ditanam di atas kawasan seluas 21 hektar itu merangkumi lebih 20 klon termasuk durian hutan.

Sementara itu, Pengurus Duriotourism MARDI Kuala Kangsar Abu Zarim Ujang berkata ladang itu menawarkan penjualan buah-buahan secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Selain durian klon, turut dijual buah manggis dengan harga pakej antara RM30 dan RM200, katanya, menambah kawasan itu juga dibuka kepada umum yang akan dikenakan bayaran masuk antara RM18 dan RM70 seorang. – BERNAMA

- Advertisement -