Dibenarkan sukan tiada sentuhan, tanpa penonton

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Khas Menteri hari ini memutuskan kebenaran bagi sektor sukan dan rekreasi fasa 3 dan 4, iaitu penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton yang melibatkan aktiviti tidak bersentuhan fizikal beroperasi mulai Rabu (15 Julai) ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti itu melibatkan sukan permotoran seperti lumba motosikal dan kereta di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) serta litar tempatan yang lain.

Selain itu, antara sukan lain yang tiada persentuhan dibenarkan termasuk badminton perseorangan, tenis perseorangan, gimnastik perseorangan, terjun papan anjal dan kejohanan catur.

- Advertisement -

Menurutnya, aktiviti sukan dan rekreasi yang bersentuhan fizikal turut dibenarkan bermula 15 Julai ini.

“Aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal juga akan bermula 15 Julai ini melibatkan sukan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, bola keranjang, takraw dan sukan tempur iaitu karate, silat, taekwondo dan sebagainya.

“Bagi pengusaha padang komersial seperti operator gelanggang futsal, fasiliti sukan dan akademi juga dibenarkan beroperasi semula pada hari itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Ismail Sabri lagi, mesyuarat juga bersetuju membenarkan penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton melibatkan sukan bersetuhan fizikal seperti sukan berpasukan bola sepak, ragbi, hoki, sepak takraw, bola keranjang, skuasy yang dibenarkan bermula pada 15 Ogos.

“Contoh kejohanan sukan berpasukan adalah seperti Liga Super dan Liga Premier bola sepak, Liga Sepak Takraw, Liga Hoki dan Liga Ragbi,” ujarnya.

Bagaimanapun jelasnya, penganjuran aktiviti sukan dan kejohanan perlu diadakan dalam keadaan terkawal oleh operator premis dan penganjuran acara dengan SOP Am Pengurusan, SOP Am Prapenganjuran dan SOP Am Penganjuran yang perlu dipatuhi.

“Antara SOPnya setiap pemain yang terlibat perlu memuat turun aplikasi MySejahtera, disaring tubuh badan dan gejala. Kawal bilangan petugas dan pengguna dihadkan mengikut sesi dan keluasan premis, peralatan perlu dibersih serta dinyahkman selepas guna,” katanya.

Maklumnya, semua SOP terperinci akan dimuat naik oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Belia dan Sukan dalam masa terdekat.

Tegas Ismail Sabri lagi, penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan sahaja dibenarkan, namun sebarang penganjuran acara antarabangsa yang melibatkan peserta dari luar negara tidak dibenarkan untuk masa ini.- HARAKAHDAILY 10/7/2020

- Advertisement -