JK Lembaga ditubuh bagi bantu pekebun kecil

Pertingkat pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia dalam kalangan golongan itu

- Advertisement -

DALAM Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (Malaysian Palm Oil Certification Council (MPOCC)) baru-baru ini, satu jawatankuasa khas yang dinamakan sebagai ‘Board Committee for Smallholders’ MSPO Certification’ (Jawatankuasa Lembaga bagi Pensijilan MSPO dalam kalangan Pekebun Kecil khususnya Pekebun Kecil Persendirian) telah ditubuhkan.

Inisiatif MPOCC bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia atau Malaysian Palm Oil Board (MPOB) ini adalah bagi mencari jalan dan mengemukakan cadangan agar pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia atau Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO) dalam kalangan Pekebun Kecil Persendirian dapat dipertingkatkan. Ini kerana sehingga kini, hanya 24.10 peratus Pekebun Kecil Persendirian yang telah memperolehi Sijil MSPO.

Sehingga 9 Julai 2020, statistik terkini menunjukkan 84.89 peratus ladang kelapa sawit (dengan 24.10 peratus Pekebun Kecil Persendirian, 99.64 peratus Pekebun Kecil Tersusun dan 96.68 peratus Estet Perladangan) serta 89.38 peratus kilang kelapa sawit di seluruh negara kini mempunyai Sijil MSPO.

- Advertisement -

Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir (Ketua Pengarah MPOB) dan anggotanya terdiri daripada Dato’ Hj. Aliasak Hj Ambia (Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) atau National Association of Smallholders Malaysia (NASH)), Encik Muhammad Sha’ani Abdullah (wakil Malaysian Environmental NGOs (MENGO)) dan Dr. Kamarul Zaman Haji Yusoff (wakil Ahli Akademik). Jawatankuasa juga akan mengadakan libat urus bersama pemegang taruh berkaitan.

MSPO mula dilancarkan sejak 2015. Antara prinsip utama yang diketengahkan adalah pengurusan penanaman kelapa sawit melalui amalan pertanian yang baik selari dengan undang-undang negara. Kelebihan MSPO adalah ia akan memanfaatkan dan melonjakkan industri itu sendiri sekali gus menjadikan minyak sawit Malaysia sebagai pilihan utama di peringkat Antarabangsa.

MSPO adalah skim pensijilan yang dibangunkan kerajaan dengan kerjasama pemegang taruh industri bagi memastikan pemain industri termasuk pekebun kecil sawit mematuhi keperluan digariskan untuk menghasilkan minyak sawit mampan. Pensijilan MSPO juga dapat meningkatkan kesedaran mengenai perlindungan alam sekitar selain pematuhan kepada undang-undang.

Kenyataan Oleh;

YBRS TUAN MUHTAR SUHAILI
Pengerusi Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) – HARAKAHDAILY 10/7/2020

- Advertisement -