Doktor pelatih lelaki dicabul pengasas NGO

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Polis hari ini menahan seorang pensyarah yang juga pengasas sebuah badan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu siasatan kes cabul seorang doktor pelatih lelaki. 

- Advertisement -

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata lelaki berusia 56 tahun itu yang lumpuh dari bahagian pinggang ke bawah, ditahan kira-kira 5 petang semalam.  

“Suspek yang berkerusi roda itu dirakam percakapan dan akan diberi jamin,” katanya dalam kenyataan.  

Menurut Mazlan, polis menerima laporan mengenai kejadian berkenaan daripada mangsa yang berusia 27 tahun dan bertugas di sebuah hospital di ibu negara pada 17 Februari lepas. 

Pada awalnya mangsa tidak mahu polis meneruskan siasatan, namun pada 7 Julai lepas doktor pelatih itu meminta polis agar kembali menyiasat kes berkenaan, katanya.
 
Katanya mangsa mendakwa dicabul kira-kira 12 tengah hari pada 4 Nov 2019 di pejabat suspek di ibu negara. 

Menurut Mazlan, mangsa mendakwa lambat membuat laporan polis kerana khuatir kerjayanya akan musnah memandangkan suspek adalah penyelianya serta seorang yang berpengaruh. 

“Polis menasihatkan mangsa kes sebegini agar tampil membuat laporan polis supaya siasatan dapat dijalankan terhadap pelaku dan hukuman yang setimpal dapat dikenakan kepada sesiapa yang terlibat,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana cabul. – BERNAMA

- Advertisement -