Tiga inisiatif hadapi tekanan hidup

Dari lima episod ujian Nabi Ibrahim A.S

- Advertisement -

KESAN COVID-19, ramai rakyat Malaysia yang menerima tempias negatif. Bukan sahaja dari sudut kesihatan, bahkan ia memberi impak kepada kehidupan sosial dan juga ekonomi. Ramai yang kehilangan pekerjaan, perniagaan merudum, projek terbengkalai dan bermacam lagi kesesakan hidup yang dialami berbagai lapisan masyarakat di setiap sektor.

Keadaan ini tentunya memberi tekanan bagi kebanyakan orang. Masing-masing sedang bergelut untuk memulihkan kehidupan masing-masing. Tentunya sukar bagi menghadapi semua ini.

Bersempena dengan mood sambutan Aidil Adha yang kian terasa, ada baiknya untuk kita sama-sama menghayati episod-episod perjalanan hidup Sang Kekasih Allah yang begitu sarat dengan ujian. Nabi Ibrahim A.S, tersenarai di kalangan Nabi Ulul Azmi ekoran ujian yang bertimpa-timpa diterima Baginda A.S. FirmanNya;

- Advertisement -

‎وَإِذِ ابْتَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ رَبُّهُ بِكَلِمَاتٍ فَأَتَمَّهُنَّ ۖ قَالَ إِنِّي جَاعِلُكَ لِلنَّاسِ إِمَامًا ۖ قَالَ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۖ قَالَ لَا يَنَالُ عَهْدِي الظَّالِمِينَ

“Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. (Setelah itu) Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi Imam (Pemimpin ikutan) bagi umat manusia”. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata: “(Ya Tuhanku!) Jadikanlah juga (apalah jua kiranya) dari keturunanku (pemimpin-pemimpin ikutan)”. Allah berfirman: “(Permohonanmu diterima, tetapi) janjiKu ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim.”

(al-Baqarah: 124)

Sorotan kecekalan jiwa Ibrahim

(1) Episod pertama: Dibakar dan dihalau.

Sejak muda, Allah S.W.T kurniakan Nabi Ibrahim A.S akal yang baik dan mampu menilai kebenaran. Ini membuatkan beliau berpendirian untuk tidak bersetuju dengan anutan sesat kaumnya yang syirik. Firman Allah S.W.T:

‎وَلَقَدْ آتَيْنَا إِبْرَاهِيمَ رُشْدَهُ مِنْ قَبْلُ وَكُنَّا بِهِ عَالِمِينَ

“Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberi kepada Nabi Ibrahim sebelum itu jalan yang benar dalam bertauhid, dan Kami adalah mengetahui akan halnya.”

(al-Anbiya’: 51)

Di dalam التفسير المنير, karangan Dr Wahbah az Zuhaili menyatakan maksud ‘sebelum itu’ ialah sebelum kenabian. Bermaksud Nabi Ibrahim A.S mendapat hidayah daripada Allah S.W.T untuk mengenali keesaanNya, melalui tanda-tanda ciptaanNya.

Raja ketika itu ialah Namruz, seorang raja yang mendominasi dunia menurut pandangan sejarawan Islam seperti Ibn Athir di dalam الكامل في التاريخ. Berdasarkan dialog-dialog antara Nabi Ibrahim A.S dan Namruz kita dapati beliau adalah seorang Atheism.

Nabi Ibrahim A.S berhujah dengan kaumnya yang dipimpin oleh Namruz, sarat dengan hujah-hujah akal yang rasional. Bertujuan supaya hujah-hujahnya itu dapat menjelaskan kekeliruan ideologi mereka. Kesan dialog Nabi Ibrahim A.S yang padat dengan hujah itu menyebabkan beliau dijatuhkan hukuman dibakar. Namun hukuman langsung tidak mematahkan semangat juang Baginda A.S. Semua nasibnya diserahkan kepada Allah S.W.T.

Akhirnya dengan kecekalan jiwanya, Allah jadikan api tersebut sejuk dan selamat untuk Nabi Ibrahim A.S. Akibat tidak mampu membakar jasadnya, Baginda A.S dihalau keluar dari tanah taklukan Namruz. Baginda A.S berkelana dari bumi Babylonia ke Palestin dengan jarak ribuan batu.

(2) Episod kedua: Isteri cuba dicabul.

Di Hebron (Palestin), kawasan itu dilanda kemarau. Nabi Ibrahim A.S bersama keluargnya terpaksa berhijrah ke Mesir. Di sana, Nabi Ibrahim A.S diancam oleh Raja Mesir. Kisah ini diceritakan oleh Nabi S.A.W dalam Hadis yang panjang;

‎هَاجَرَ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلَام بِسَارَةَ فَدَخَلَ بِهَا قَرْيَةً فِيهَا مَلِكٌ مِنْ الْمُلُوكِ أَوْ جَبَّارٌ مِنْ الْجَبَابِرَةِ فَقِيلَ دَخَلَ إِبْرَاهِيمُ بِامْرَأَةٍ هِيَ مِنْ أَحْسَنِ النِّسَاءِ فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ مَنْ هَذِهِ الَّتِي مَعَكَ قَالَ أُخْتِي ثُمَّ رَجَعَ إِلَيْهَا فَقَالَ لَا تُكَذِّبِي حَدِيثِي فَإِنِّي أَخْبَرْتُهُمْ أَنَّكِ أُخْتِي وَاللَّهِ إِنْ عَلَى الْأَرْضِ مُؤْمِنٌ غَيْرِي وَغَيْرُكِ فَأَرْسَلَ بِهَا إِلَيْهِ فَقَامَ إِلَيْهَا فَقَامَتْ تَوَضَّأُ وَتُصَلِّي فَقَالَتْ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتُ آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فَرْجِي إِلَّا عَلَى زَوْجِي فَلَا تُسَلِّطْ عَلَيَّ الْكَافِرَ فَغُطَّ حَتَّى رَكَضَ بِرِجْلِهِ قَالَ الْأَعْرَجُ قَالَ أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ إِنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَتْ اللَّهُمَّ إِنْ يَمُتْ يُقَالُ هِيَ قَتَلَتْهُ فَأُرْسِلَ ثُمَّ قَامَ إِلَيْهَا فَقَامَتْ تَوَضَّأُ تُصَلِّي وَتَقُولُ اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتُ آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فَرْجِي إِلَّا عَلَى زَوْجِي فَلَا تُسَلِّطْ عَلَيَّ هَذَا الْكَافِرَ فَغُطَّ حَتَّى رَكَضَ بِرِجْلِهِ قَالَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ قَالَ أَبُو سَلَمَةَ قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ فَقَالَتْ اللَّهُمَّ إِنْ يَمُتْ فَيُقَالُ هِيَ قَتَلَتْهُ فَأُرْسِلَ فِي الثَّانِيَةِ أَوْ فِي الثَّالِثَةِ فَقَالَ وَاللَّهِ مَا أَرْسَلْتُمْ إِلَيَّ إِلَّا شَيْطَانًا ارْجِعُوهَا إِلَى إِبْرَاهِيمَ وَأَعْطُوهَا آجَرَ فَرَجَعَتْ إِلَى إِبْرَاهِيمَ عَلَيْهِ السَّلَام فَقَالَتْ أَشَعَرْتَ أَنَّ اللَّهَ كَبَتَ الْكَافِرَ وَأَخْدَمَ وَلِيدَةً

“Nabi Ibrahim A.S berhijrah bersama isterinya Sarah, memasuki suatu kampung yang dipimpin oleh seorang raja atau seorang yang diktator, dan merupakan di antara penguasa yang bengis. Ada yang berkata; Nabi Ibrahim A.S datang dengan seorang wanita yang paling cantik. Lalu Nabi Ibrahim A.S dipanggil mengadap, dan ditanya: Wahai Ibrahim, siapakah wanita yang bersamamu itu?” Nabi Ibrahim A.S berkata: “Dia adalah adikku”. Lalu Nabi Ibrahim A.S kembali kepada Sarah dan berkata: “Janganlah kamu menafikan perkataanku kerana aku telah memberitahu mereka bahawa kamu adalah adikku. Demi Allah, sesungguhnya tidak ada orang beriman di tempat ini selain aku dan kamu”. Kemudian Sarah dibawa menghadap raja untuk hidup bersamanya. Maka Sarah berwudhu’ lalu mendirikan solat seraya berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku beriman kepadaMu dan kepada RasulMu dan aku memelihara kemaluanku kecuali untuk suamiku. Maka janganlah Engkau satukan aku dengan orang kafir ini”. Maka tiba-tiba raja itu terhenti langkahnya (untuk menghampiri) hingga kakinya tidak berpijak di atas tanah melainkan hujung-hujung jari kakinya sahaja. Al-A’raj berkata, Abu Salamah bin Abdul Rahman berkata, Abu Hurairah R.A berkata; Sarah berdoa: “Ya Allah, seandainya dia mati, nanti pasti akan dikatakan bahawa wanita ini telah membunuhnya”. Maka Sarah dibawa kepada raja itu dan telah berdiri di hadapannya. Maka Sarah berwudhu’ lalu mendirikan solat seraya berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku beriman kepadaMu dan kepada RasulMu, dan aku memelihara kemaluanku kecuali untuk suamiku maka janganlah Engkau satukan aku dengan orang kafir ini”. Secara tiba-tiba langkah raja terhenti lagi dan kakinya tidak berpijak di atas tanah melainkan hujung jari kakinya sahaja. Abdul Rahman berkata, Abu Salamah berkata, Abu Hurairah R.A berkata; Sarah berkata: “Ya Allah, seandainya dia mati, nanti pasti akan dikatakan bahawa wanita ini telah membunuhnya”. Maka Sarah dibawa untuk kali kedua atau ketiga. Maka raja itu berkata: “Demi Allah, tidaklah kalian bawa ke hadapanku melainkan syaitan. Kembalikanlah wanita ini kepada Ibrahim dan berikanlah dia upah. Maka Sarah kembali kepada Nabi Ibrahim A.S lalu berkata: “Apakah kamu menyedari bahawa Allah S.W.T telah menghinakan orang kafir itu dan menjadikannya sebagai budak, seorang hamba sahaya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Justeru, doa yang diajar oleh Nabi S.A.W yang diamalkan oleh Siti Sarah untuk memelihara kehormatan diri adalah dengan doa:

‎اللَّهُمَّ إِنْ كُنْتُ آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فَرْجِي إِلَّا عَلَى زَوْجِي

Sebagai tanda keyakinan terhadap penjagaan daripada Allah S.W.T.

(3) Episod ketiga: Tidak memperolehi anak.

Ujian terhadap Nabi Ibrahim A.S tidak terhenti setakat itu sahaja. Baginda A.S juga turut diuji dengan tidak memiliki anak sehingga ke usia tua. Baginda sering berdoa memohon zuriat sehingga Allah S.W.T berjanji bahawa Baginda A.S akan beroleh anak. Walau bagaimanapun, ia memakan masa begitu lama sampai usia Baginda A.S dan isterinya lewat senja. Firman Allah S.W.T:

‎ رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ (100) فَبَشَّرْنَاهُ بِغُلَامٍ حَلِيمٍ (101)

“”Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!” (100) Lalu Kami berikan kepadanya berita yang menggembirakan, bahawa ia akan beroleh seorang anak yang penyabar.” (101)

(as Saaffat)

FirmanNya lagi:

‎وَنَبِّئْهُمْ عَن ضَيْفِ إِبْرَاهِيمَ (51) إِذْ دَخَلُوا عَلَيْهِ فَقَالُوا سَلَامًا قَالَ إِنَّا مِنكُمْ وَجِلُونَ (52) قَالُوا لَا تَوْجَلْ إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلَامٍ عَلِيمٍ (53) قَالَ أَبَشَّرْتُمُونِي عَلَىٰ أَن مَّسَّنِيَ الْكِبَرُ فَبِمَ تُبَشِّرُونَ (54) قَالُوا بَشَّرْنَاكَ بِالْحَقِّ فَلَا تَكُن مِّنَ الْقَانِطِينَ (55) قَالَ وَمَن يَقْنَطُ مِن رَّحْمَةِ رَبِّهِ إِلَّا الضَّالُّونَ (56)

“Dan khabarkanlah kepada mereka perihal tetamu Nabi Ibrahim (51) Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Selamat sejahtera kepadamu!” Ia berkata: “Sesungguhnya kami berasa takut kepada kamu”. (52) Mereka menjawab: “Janganlah engkau takut, sebenarnya kami hendak mengembirakanmu dengan berita bahawa engkau akan beroleh seorang anak lelaki yang bakal menjadi seorang yang berilmu”. (53) Nabi Ibrahim berkata: “Betulkah kamu mengembirakan daku (dengan berita yang demikian), padahal aku telah tua; maka dengan jalan apakah kamu mengembirakan daku?” (54) Mereka menjawab: “Kami mengembirakanmu dengan jalan yang sungguh benar; oleh itu janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang berputus asa”. (55) Nabi Ibrahim berkata: “Dan tiadalah sesiapa yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat”. (56)

(al-Hijr)

Justeru, antara yang diajar oleh al-Quran bahawa Nabi Ibrahim A.S tidak berputus asa. Terus memohon kepada Allah S.W.T untuk dikurniakan anak, sekalipun sudah tua. Kita hari ini jika bermasalah untuk mendapatkan anak, boleh mengamalkan doa yang dibaca oleh Nabi Ibrahim A.S iaitu:

‎رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ

Sebagai tanda usaha dan tidak berputus asa.

(4) Episod keempat: Diperintah meninggalkan keluarga.

Ringkas ceritanya, perkongsian hidup dengan salah seorang isterinya Hajar akhirnya beroleh seorang cahaya mata yang diberi nama Ismail. Namun atas perintah Allah, anak yang masih baru dilahirkan itu wajib ditinggalkan di suatu kawasan padang pasir yang tidak berpenghuni bersama ibunya, Hajar. Lalu Nabi Ibrahim A.S membawa kedua-duanya ke tempat yang jauh, lagi tidak berpenghuni:

Imam Ibnu Kathir R.A menceritakan ketika mana Nabi Ibrahim baru berganjak meninggalkan keduanya di situ, Hajar bertanya: “Ibrahim, kamu hendak pergi ke mana meninggalkan kami di sini, padahal kami tidak mempunyai bekal apa-apa?”. Hajar bertanya lagi: “Apakah Allah yang memerintahkan ini?”. Nabi Ibrahim A.S menjawab : “Ya”. Hajar berkata : “Kalau begitu kami tidak akan disia-siakan!.”

Nabi Ibrahim A.S terus berjalan meninggalkan Hajar dan Nabi Ismail A.S di situ. Setibanya di Tsaniyyah, Nabi Ibrahim A.S menghadapkan wajahnya ke BaituLlah dan berdoa;

‎رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْت الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ (37)

“Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.” (37)

Setiap ketua keluarga apabila melangkah keluar untuk mencari rezeki atau sebagainya, digalakkan berdoa sepertimana Nabi Ibrahim A.S berdoa meminta supaya keturunannya mendirikan solat serta memakmurkan tempat itu dengan ibadat. Di dalam ayat yang lain, doa Nabi Ibrahim A.S difirmankan oleh Allah S.W.T di dalam al Quran;

‎رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Ibrahim: 40)

Doa ini mengajar para isteri dan anak-anak agar sentiasa tenang berpunca dari solat ketika suami tiada di rumah, begitu juga suami merasa tenang ketika pergi meninggalkan isteri dan anak-anak. Isteri perlulah sentiasa bersangka baik dengan suami, dan suami bersangka baik dengan Allah S.W.T yang menjaga keluarganya di rumah.

(5) Episod kelima: Diperintah menyembelih anak.

Setelah melepasi ujian emosi meninggalkan anak yang baru lahir, beberapa tahun kemudian barulah Allah S.W.T mengizinkan Baginda A.S untuk pergi semula ke padang pasir tersebut, untuk bertemu dengan isteri dan anaknya. Walau bagaimanapun, ujian tidak terhenti setakat itu. Setelah bertemu keduanya dalam keadaan selamat, Baginda A.S diperintahkan pula untuk menyembelih anak kesayangannya itu. Tanpa sedikitpun membantah, Baginda A.S turutkan sahaja segala perintah Ilahi:

‎فَلَمَّا بَلَغَ مَعَهُ السَّعْيَ قَالَ يَا بُنَيَّ إِنِّي أَرَىٰ فِي الْمَنَامِ أَنِّي أَذْبَحُكَ فَانْظُرْ مَاذَا تَرَىٰ ۚ قَالَ يَا أَبَتِ افْعَلْ مَا تُؤْمَرُ ۖ سَتَجِدُنِي إِنْ شَاءَ اللَّهُ مِنَ الصَّابِرِينَ ﴿102﴾ فَلَمَّا أَسْلَمَا وَتَلَّهُ لِلْجَبِينِ ﴿103﴾ وَنَادَيْنَاهُ أَنْ يَا إِبْرَاهِيمُ ﴿104﴾ قَدْ صَدَّقْتَ الرُّؤْيَا ۚ إِنَّا كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ ﴿105﴾ إِنَّ هَٰذَا لَهُوَ الْبَلَاءُ الْمُبِينُ ﴿106﴾ وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ ﴿107﴾ وَتَرَكْنَا عَلَيْهِ فِي الْآخِرِينَ ﴿108﴾ سَلَامٌ عَلَىٰ إِبْرَاهِيمَ ﴿109﴾ كَذَٰلِكَ نَجْزِي الْمُحْسِنِينَ ﴿110﴾ إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ ﴿111﴾

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya-Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”. (102) Setelah keduanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (Kami sifatkan Ibrahim – dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah Kami), (103) Serta Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! (104) “Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. (105) Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata; (106) Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar; (107) Dan Kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian: (108) “Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim!”. (109) Demikianlah Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. (110) Sesungguhnya Nabi Ibrahim itu dari hamba-hamba Kami yang beriman.” (111)

(as Saaffat)

Tiga inisiatif dalam menghadapi ujian

Kehidupan Nabi Ibrahim A.S yang sarat dengan ujian dan cabaran sedikit pun tidak melemahkan Baginda A.S. Kita belum pernah diancam untuk dibakar hidup-hidup sepertimana Baginda A.S. Kita belum pernah diancam keselamatan keluarga kita. Kita juga belum pernah diuji dengan perintah Tuhan yang menyuruh meninggalkan isteri yang baru sahaja melahirkan anak di kawasan kontang yang tiada penghuni, sepertimana Nabi Ibrahim A.S diarahkan meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail yang masih menyusu. Apatah lagi untuk menyembelihya. Namun, Nabi Ibrahim A.S dan keluarganya terus cekal meneruskan kehidupan dengan menurut segala perintah Tuhan.

Hari ini kita baru sahaja berhadapan dengan krisis dahsyat COVID-19 yang sangat menggugat ekonomi nasional dan Antarabangsa. Perak turut terkena tempiasnya. Seluruh masyarakat terpaksa berhadapan dengan kesempitan ekonomi yang rencam dan mencabar. Tidak dinafikan ujian ini amat perit untuk dihadapi. Namun jika dibandingkan dengan ujian Nabi Ibrahim, kita masih cukup bertuah.

Bagi memaknakan kisah Nabi Ibrahim A.S dalam berhadapan dengan ujian sekarang, terdapat tiga inisiatif yang boleh dipelajari daripadanya:

(1) Inisiatif satu: Fahami konsep ujian.

Apabila kita mengkaji ujian-ujian yang diterima oleh Nabi Ibrahim A.S, kita dapati Tuhan tidak terus menguji Baginda A.S dengan ujian yang sama secara berterusan tanpa henti. Akan tetapi Allah S.W.T memberikan jalan keluar walaupun selepasnya itu, datang ujian yang lain pula.

Perkara ini menerangkan mengenai ‘sunnatullah’ dalam ujian yang Tuhan timpakan. Allah S.W.T tidak akan timpakan kita dengan ujian yang dihadapi hari ini secara berterusan sepanjang hidup kita. Ini kerana ujian hanyalah sekadar untuk menguji sejauh mana kecekalan diri kita berhadapan dengannya. Seandainya kita redha dengan ujian dan menghadapinya dengan tabah, Allah S.W.T akan terus mengangkat ujian tersebut bahkan akan menggantikannya dengan ganjaran yang besar seperti hadiah seekor kibash bagi menggantikan tengkuk Nabi Ismail!

(2) Inisiatif dua: Bina jiwa yang besar.

Oleh kerana manusia tidak boleh lari daripada ujian, maka tidak seharusnya kita mengharapkan untuk kita tidak diuji. Sebaliknya kita perlu membina jati diri yang mantap agar ujian yang menimpa boleh dihadapi dengan redha dan tenang.

Ujian bukanlah datang untuk memaksa kita berundur dari apa yang telah diazamkan. Sebaliknya ia menjadi penguji untuk melihat sejauh mana tekadnya kita. Justeru, jangan lemah, jangan berputus asa, sesungguhnya rahmat Allah itu luas menunggu orang-orang yang ingin berjaya. Firman Allah S.W.T:

‎وَلَا تَيْأَسُوا مِن رَّوْحِ اللَّهِ ۖ إِنَّهُ لَا يَيْأَسُ مِن رَّوْحِ اللَّهِ إِلَّا الْقَوْمُ الْكَافِرُونَ

“…Janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.”

(Yusuf: 87)

(3) Inisiatif tiga: Bantuan kerajaan.

Sebagai sebuah masyarakat madani, peranan kerajaan juga penting bagi meminimumkan tekanan yang dihadapi rakyat. Di Perak, pihak kerajaan berusaha bagi membantu para usahawan dan petani khususnya untuk cekal meneruskan kehidupan. Pada April 2020 melalui skim AgroPrihatin, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) memperuntukkan dana berjumlah RM1 juta bagi membeli hasil pertanian terutamanya sayur-sayuran dan buah-buahan yang tidak terjual daripada petani yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Perak dan PPPNP.

Selain itu, pada 20 Mei, Kerajaan Perak mengumumkan sejumlah RM18.36 juta diperuntukkan untuk sektor perniagaan dengan RM10 juta khusus bagi menyediakan skim pembiayaan mudah akses kepada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). RM5 juta diperuntukkan bagi pinjaman Mikro Tabung Usahawan manakala RM1.65 juta untuk pemerkasaan usahawan dan inisiatif E-Dagang.

Bantuan bantuan yang disediakan ini sebagai usaha untuk memberi galakan kepada masyarakat agar terus cekal. Tidak berputus asa sekalipun ekonomi sedang berkrisis. Kesimpulannya, ujian adalah proses biasa bagi manusia. Selagi nama kita manusia dan selagi kita berpijak di bumi nyata, selagi itu ujian tidak akan terhenti. Justeru itu, hadapilah dengan cermat sebagaimana contoh yang telah Nabi Ibrahim A.S tinggalkan.

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN
Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Dan Penerangan
Kerajaan Negeri Perak – HARAKAHDAILY 9/7/2020

- Advertisement -