Serah memo pencemaran sungai akibat najis babi

- Advertisement -

KEPALA BATAS: PAS Negeri Pulau Pinang melalui PAS Kawasan Tasek Gelugor telah menyerahkan Memorandum Pencemaran Sungai Kreh Seberang Perai Utara kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang.

- Advertisement -

Serahan disampaikan kepada Ketua Penolong Pengarah Kanan JAS Pulau Pinang, Abdul Aziz Parmin oleh Yang DiPertua PAS Tasek Gelugor, Mohd Sobri Salleh di Pejabat JAS Pulau Pinang, Bertam, di sini tengahari tadi.

Turut sama mengiringi adalah Aktivis Alam Sekitar, Saiful Lizan Md Yusoff dan Pengerusi Qaryah Masjid Lahar Yooi, Arsyad Md Salleh serta Timbalan Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Ustaz Abdul Razib Abdul Rahim.

Dinyatakan dalam memorandum itu, Sungai Kreh menjadi sungai utama dalam lembangan Parit Kampung Selamat, Sungai Kreh Mati, Sungai Kechil Pokok Machang, Parit Malakoff, Sungai Lubuk Meriam Dalam.

Juga kepada parit ladang kelapa sawit, taman perumahan dan perkampungan, selain sumber utama aktiviti penduduk setempat antaranya Air Melintas Kecil, Taman Seri Gelugor, Kampung Tok Bedu, Pokok Machang, Lubuk Meriam, Kampung Lahar Yooi dan Kampung Ayer Itam.

“Sungai Kreh dahulunya bersih dan jernih menjadi tempat aktiviti penduduk setempat seperti memancing, sumber pengaliran air ke sawah, punca mencari rezeki, riadhah dan sebagainya.

“Namun, semua itu telah musnah dengan kerakusan pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab memusnahkan sungai demi keuntungan pihak lain sehingga mengabaikan kepentingan awam,” ujar mereka.

Dinyatakan, kumbahan najis babi dari Kampung Selamat dibuang terus tanpa rawatan itu menjadi punca pencemaran yang telah begitu lama menghantui penduduk setempat di mana rata-rata adalah kaum Melayu-Islam.

Kami tidak menafikan, pencemaran Sungai Kreh juga bertambah teruk dengan sikap masyarakat yang membuang sampah sehingga menyebabkan tersekat di beberapa tempat seperti di Pokok Machang.

“Kami juga  mendapati pencemaran najis babi di sungai-sungai ini mengeluarkan pencemaran bau di kawasan kepadatan penduduk. Lebih teruk, kawasan ini juga selalu terlibat dengan banjir yang mengakibatkan kesan besar kepada beberapa kampung.

“Antaranya Kampung Pokok Machang, Kampung Lubuk Meriam, Kampung Tonsun, Kampung Lahar Yooi, Kampung Sungai Korok dan Kampung Seberang Tok Dol.

“Pencemaran di lembangan Sungai Kreh juga boleh menyebabkan sumber air utama juga terjejas dan merosakkan eko-sistem sekitarnya,” hujah mereka. – *HARAKAHDAILY 9/7/2020*

- Advertisement -