Premis makanan sebabkan pencemaran FOG

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Premis makanan antara yang dikesan melepaskan sisa makanan, lemak, minyak dan gris (FOG) ke paip pembentungan awam dan sistem perparitan hingga menyebabkan pencemaran di kawasan perairan dan sungai, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

- Advertisement -

Menurutnya, perbuatan sedemikian adalah antara 200 aduan pencemaran FOG yang dilaporkan kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air ketika pelaksanaan Ops Air Raya dari 14 Mei hingga 29 Mei lepas.

Beliau berkata terdapat juga kontraktor yang dilantik pemilik premis yang mengambil jalan mudah melupuskan sisa FOG secara haram ke dalam paip pembetungan.

“FOG yang berlebihan boleh menyebabkan paip pembentungan dan air kumbahan melimpah keluar sehingga boleh mencemarkan alam sekitar dan juga boleh mengganggu proses rawatan di loji rawatan kumbahan,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita di sini semalam selepas melancarkan perkhidmatan pengosongan sistem perangkap FOG untuk untuk premis komersial dan industri oleh Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK).

Tuan Ibrahim dalam pada itu berharap inisiatif IWK itu dapat membantu mencapai sasaran Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030, iaitu sasaran mengitar semula sisa kumbahan pada kadar yang lebih tinggi daripada sedia ada menjelang 2030. – BERNAMA

- Advertisement -