Melangkah ke depan dengan kemenangan PRK Chini

- Advertisement -

KEMENANGAN calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil DUN Chini di Pahang baru-baru ini bukanlah sesuatu yang di luar jangkaan setelah Muafakat Nasional (MN) yang didukung BN dan PAS memenangi 5 Pilihan Raya Kecil sebelum ini berturut-turut.

Majoriti 12,650 undi yang diperolehi calonnya Mohd Sharim Md Zain juga sebenarnya dalam jangkaan apabila tiada tentangan yang dihadapi dari pihak Pakatan Harapan (PH) yang telah menikus lari. Calon BN sekadar berhadapan dengan dua calon Bebas yang kedua-duanya hilang wang pertaruhan.

Inilah Pilihan Raya Kecil yang pertama setelah berlaku perubahan kerajaan di peringkat Persekutuan dan 4 buah negeri lain iaitu Johor, Melaka, Perak dan Kedah.

- Advertisement -

Dalam PRU ke-14 lalu BN memperolehi 10,027 undi mengalahkan calon PAS yang memperolehi 5,405 undi manakala calon PKR hilang wang pertaruhan apabila hanya mampu memungut 1,065 undi.

Dalam PRK ini calon BN berjaya meraih 13,872 undi manakala jumlah undi yang diperolehi kedua calon Bebas hanyalah 1,259 undi. Ini bermakna undi calon BN telah meningkat sebanyak 3,845 berbanding PRU lalu.

Peningkatan ini membuktikan bahawa kerjasama politik Muafakat Nasional yang dijalin antara PAS dan Umno benar-benar mampu membawa kemenangan besar kiranya pakatan ini mengemukakan satu calon berhadapan dengan penentang mereka.

Inilah juga sebenarnya fenomena yang telah berlaku di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjong Piai dan Kimanis sehingga membawa kemenangan selesa buat BN. Dan percayalah trend ini akan berterusan selagi semuanya tersusun kemas dan berjalan lancar.

Inisiatif dan kesungguhan membentuk permuafakatan dua buah parti Melayu Islam terbesar dalam negara bersama sekutu-sekutunya ternyata dapat diterima baik oleh rakyat dan malah rakyat mengharapkan agar Taawun Siyasi ini dapat terus terjalin sebagai satu bentuk politik baru yang lebih meyakinkan demi kestabilan dan masa depan rakyat dan negara.

Jika PRK yang sebelum ini hanya melibatkan BN-Umno dan PAS, kali ini di Chini keluarga permuafakatan ini menjadi lebih besar khasnya setelah terbentuk Kerajaan Persekutuan yang baru di Putrajaya dan 4 buah negeri yang disebut tadi.

Muafakat Nasional hampir mencecah setahun penubuhannya menjelang September nanti, kini ia mempunyai rakan-rakan baru antaranya BERSATU selain parti-parti dari Sabah dan Sarawak. Ini bermakna politik baru yang telah dibina dan dibentuk oleh PAS dan Umno kini turut diiktiraf dan mahu disertai bersama oleh parti-parti lain sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Perkembangan ini adalah satu realiti baru dan ianya tidak boleh ditolak atau dikesampingkan kerana ia sebenarnya juga adalah kehendak dan tuntutan rakyat. Kita mungkin teguh dan kuat namun tanpa sokongan rakyat kita tidak mampu kemana.

Lantaran itu Muafakat Nasional perlu membuka ruang bagi membesarkan lagi keluarga persepakatan politik ini agar semua pihak dapat berperanan dan menyumbang ke arah pembentukan negara yang lebih harmoni dan sejahtera.

Terbaru pimpinan parti-parti politik yang dimaksudkan kesemuanya telah bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus menyandang jawatan PM kiranya Muafakat Nasional dan Perikatan Rakyat memenangi PRU ke-15 nanti.

Kesudian untuk mengenepikan apa sahaja perbezaan dan berdiri atas satu pentas, cukup dialu-alukan rakyat jelata kerana ia mencerminkan kedewasaan dan kematangan semua pihak yang terlibat, bersedia untuk bersatu dan berkerjasama bukan kerana taksub dan gilakan pangkat, jawatan mahupun kuasa tetapi kerana mahu membela nasib dan masa depan rakyat dan negara.

Untuk itu Muafakat Nasional perlu diperkasakan kerana ia sebagai pelopor dan tunggak sejak dari awal-awal pembentukan politik baru ini. Pembentukan jentera kerjasama yang bertenaga dan tersusun perlu terus diusahakan sehingga tonggak ini nanti menjadi kuasa penentu dalam melakarkan arah tuju dan masa depan Perikatan Nasional kiranya ia berjaya terbentuk secara formal di waktu terdekat nanti.

Semua pihak perlu berlapang dada dan menerima hakikat bahawa pembentukan Muafakat Nasional pada bulan September 2019 lalu adalah permulaan era politik baru negara.

Pembentukan Perikatan Nasional pula nanti jangan menafikan realiti ini kerana Muafakat Nasional lah sesungguhnya yang telah merangsang dan mendorong rakyat untuk berani bangkit membuat perubahan sepanjang 6 PRK yang lalu, terbaru di Chini.

Muafakat Nasional jugalah yang padu memberi sokongan sehingga terbentuknya kerajaan baru di Putrajaya dan 4 negeri lain yang disebut sebelumnya sehingga DAP dan dominasinya dapat diruntuhkan dan dikikis keluar.

Tepatlah pepatah Melayu yang mengatakan bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. Justeru semua pihak yang terlibat sama ada MN mahupun BERSATU dan lain-lain parti dan kumpulan perlu berunding dan berbincang secara jujur dan terbuka, meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan mengatasi kepentingan kelompok mahupun peribadi.

Sekiranya apa sahaja syak wasangka, iri hati dan tanggapan buruk dapat dikikis, keyakinan dapat dijelmakan, dengan izin Allah tidak mustahil Perikatan Nasional bakal terbit menjadi simbol politik baru Malaysia yang bakal melakarkan politik dan masa depan negara.

Ketika itu masing-masing yang bernaung di bawah payung Perikatan Nasional punya peranan, tugas dan tanggungjawab.

Masing-masing perlu-memerlu dan lengkap melengkapi antara satu dengan yang lain. Itulah akhirnya yang ditunggu-tunggu oleh rakyat.

Semoga kepimpinan MN dan yang lain-lain dapat diberikan kekuatan dan kebijaksanaan untuk memikul tanggungjawab besar ini, berunding dan bermuafakat secara terbaik, biar terbit satu persetujuan bersama yang konklusif dan menguntungkan semua pihak.

Rakyat sudah bosan dan menolak politik melampau, rasis, perjuangan peribadi dan perebutan kuasa yang menggila. Mereka juga tidak menerima pimpinan yang memungkiri janji, menipu, kotor, rasuah dan mungkar.

Jangan sekali-kali MN dan PN dalam usaha menjalin dan membina politik baru mengulangi atau menghidupkan kembali kebencian rakyat ini.

Biarlah kenaikan dan kemudiannya keruntuhan Kerajaan PH itu menjadi pengajaran dan iktibar buat semua. Berazam dan berkerjalah ke arah pembentukkan Malaysia Baru di atas runtuhan PH yang mungkar itu.

Keputusan rakyat di Chini mewakili kehendak akar-umbi, segeralah bermuafakat dan bersatu.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 9/7/2020

- Advertisement -