Gunung Kinabalu boleh didaki dengan SOP baharu

- Advertisement -

RANAU: Gunung Kinabalu kini kembali dibuka untuk aktiviti pendakian setelah ditutup sementara kepada orang ramai berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas. 

- Advertisement -

Taman Taman Sabah (TTS) telah membuka semula laluan pendakian sejak 16 Mei lepas tetapi setiap pendaki perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Puncak tertinggi di Malaysia iaitu 4,095 meter ini terletak di Taman Kinabalu, Kundasang kira-kira 90 kilometer dari Kota Kinabalu, Sabah dan merupakan antara kawasan Tapak Warisan Dunia.
 
Berdasarkan normal baharu itu hanya 100 pendaki dibenarkan dalam sehari, berbanding kira-kira 165 orang sebelum PKP untuk mendaki dan setiap pendaki akan diperiksa suhu badan, selain mencatat nama pada buku daftar.

Setiap pendaki termasuk malim gunung dan porter tidak terkecuali daripada SOP yang ditetapkan itu bagi memastikan keselamatan setiap pendaki terjamin, di mana kemudahan kuarantin turut disediakan.

Semasa berada di puncak Kinabalu pula, bagi mengelakkan kesesakan hanya empat pendaki sahaja dibenarkan dalam satu-satu masa dan perlu bergilir untuk bergambar.

Proses sanitasi turut dibuat di setiap kawasan penginapan di mana kedudukan katil di setiap bilik disusun dengan jarak ditetapkan selain penyediaan cecair pembasmi kuman di setiap pintu masuk bilik penginapan.
 
Sementara itu, bagi penyediaan makanan di restoran, pendaki tidak dibenar untuk mengambil makanan sendiri seperti sebelum ini, sebaliknya pelayan di restoran akan membantu meletakkan makanan di pinggan pelanggan. – BERNAMA

- Advertisement -