Denggi: Perlu sentiasa bersihkan kawasan kediaman

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan kes denggi di Malaysia menunjukan penurunan empat kes pada minggu ke 27 iaitu 2,116 kes berbanding 2,120 kes pada minggu ke 26.

Jumlah kes denggi terkumpul sejak Januari 2020 adalah 56,507.

Bagi kes kematian pula, dua kes kematian direkodkan pada minggu ke 27 iaitu angka kes yang sama seperti minggu ke 26.

- Advertisement -

Ini menjadikan jumlah terkumpul kes kematian setakat ini adalah 94 kes.

Seperti Covid-19, Denggi juga masih belum ada vaksin dan tiada ‘immunity passport’ yang mana pesakit yang sembuh masih boleh dijangkiti kali kedua dan seterusnya.

“Langkah terbaik mengelak dijangkiti penyakit ini adalah melalui langkah pencegahan,” kata satu kenyataan KKM dalam Facebook rasminya kelmarin.

KKM menasihatkan orang ramai sentiasa amalkan langkah pencegahan di tempat tinggal masing-masing.

Antaranya masyarakat perlu membersih kawasan persekitaran, mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes untuk memastikan kawasan kediaman bebas daripada penularan jangkitan Demam Denggi, Chikungunya dan Zika.- HARAKAHDAILY 9/7/2020

- Advertisement -