DAP hipokrit, bermuslihat, ada agenda belakang tabir

Gesa SPRM siasat, bongkar habis-habisan disebalik projek mega DAP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembangunan projek mega oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang di negeri itu dilihat mempunyai terlalu banyak muslihat dan agenda belakang tabir, demikian menurut Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim.

- Advertisement -

Sehubungan itu gesanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sedang ‘berkampung’ di Pulau Pinang ketika ini diharap dapat menyiasat dan membongkar habis-habisan penipuan DAP.

Beliau ditemubual dalam siaran langsung secara atas talian bersama GombakTV membincangkan tajuk “Skandal Terowong Pulau Pinang: Tak Kisah Rakyat Bengang… Janji Masyuk?”, semalam.

Dalam kupasannya, Iszuree mengimbas rancangan asal terhadap usaha untuk mengatasi masalah lalu lintas yang teruk di Pulau Pinang bermula sejak tahun 2004 menerusi projek jajaran lebuhraya baharu.

Katanya, projek Lebuhraya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) bernilai RM1.02 bilion itu semenangnya satu keperluan buat rakyat dan negeri, tetapi tidak kesampaian apabila Kerajaan Gerakan-BN tewas dalam PRU 2008.

Terangnya, di bawah PORR melibatkan MRCB Sdn Bhd dan Peninsular Metroworld Sdn Bhd selaku pemegang taruh, lebuhraya dari Tanjung Tokong ke Gelugor sepanjang 17 kilometer itu akan mempunyai lapan susur keluar.

Cerita Iszuree, ketika PORR dikemukakan, DAP cukup ekstrem menentang dengan membangkitkan isu-isu alam sekitar serta kononnya ia projek kroni dan dakwaan rasuah hingga dijadikan DAP modal pilihan raya.

Bagaimanapun katanya, di bawah Lim Guan Eng selaku Ketua Menteri, projek baharu pula diajukan sekitar tahun 2010 dan setelah mendapat kritikan dari BN, rancangan diubahsuai kepada satu pelan induk.

Pelan induk tersebut ujarnya, melibatkan Halcrow Transport Consultant dari Britain dengan bayaran kajian awal sebanyak RM3.2 juta berfokus kepada kelancaran sistematik pengangkutan awam.

“Namun rancangan HealthCrow yang telah dibentangkan pada kerajaan negeri pada tahun 2011, 2012, dan 2013 ini telah diketepikan. Ketika itu Halcrow mencadangkan dengan kos lebih kurang RM10 bilion sahaja.

“Berbanding PORR semasa BN dulu lebih kurang RM1.02 ke RM1.5 bilion. Tapi mungkin disebabkan oleh naiknya harga-harga kos construction, maka dicadangkan Halcrow dengan kos sebanyak RM10 bilion,” bahasnya.

Lanjut beliau, setelah itu berlaku tambahan projek ke atas Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) tersebut termasuk terowong dasar laut dan lain-lain menjadikan keseluruhan kos projek mega ini sebanyak RM46 bilion.

Kata Iszuree, rakyat yang bermaklumat semakin ragu apabila kajian kebolehlaksanaan terowong itu menelan belanja RM305 juta di mana terlalu mahal berkali-kali ganda berbanding pembinaan sama di Kanada cuma sekitar RM50 juta.

Jelasnya, rakyat mulai bersuara mengkritik dan membidas Kerajaan DAP Pulau Pinang yang ketika itu menguar-uarkan mengenai ketelusan, tetapi bersikap hipokrit dalam pelaksanaan mereka.

Menurut beliau, sebanyak enam kertas siasatan juga telah dibuka berkaitan isu tersebut, tetapi seakan disembunyikan di bawah karpet semasa Pakatan Harapan memerintah, selain banyak ‘wayang’ dilakukan DAP.

Iszuree turut membandingkan harga rumah dibangunkan dahulu di bawah RM100,000 dan masih mampu dimiliki rakyat, tetapi sejak DAP memerintah dibina yang berharga RM300,000 di mana rakyat hanya mampu tengok.

Pun begitu beliau percaya DAP tidak akan berjaya dan sukar kerana kos untuk memulakan semua projek mega tersebut terlalu besar dan ketika sama berdepan 76 syarat untuk kelulusan penilaian alam sekitar (EIA).

Bekas Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang yang dipecat itu juga berkata, ketika pimpinan DAP disiasat atas dakwaan berkait rasuah, namun perkara sebaliknya tidak berlaku dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan.

Katanya, disebalik pelbagai kejian dihamburkan pemimpin DAP kepada Kelantan, tetapi pelbagai pihak dan agensi memberikan penarafan terbaik dan pengiktirafan kepada negeri diterajui PAS itu.

“Saya harap (SPRM) bongkarkanlah sehabis-habisnya supaya rakyat lihat sejauhmana hipokrasi DAP ini yang telah bukan sahaja menipu rakyat dalam PRU ke-14.

“Tapi menipu bulat-bulat rakyat Pulau Pinang yang akan menyebabkan bukan sahaja kerajaan negeri akan bankrup, rakyat Pulau Pinang juga akan menanggung satu beban kos yang cukup besar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 9/7/2020

- Advertisement -