12,000 ahli LPP peroleh manfaat PENJANA

- Advertisement -

JELEBU: Kira-kira 12,000 ahli Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan mendapat manfaat daripada Skim Pembiayaan Mikro Kredit yang dilancarkan oleh kerajaan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).

- Advertisement -

Ketua Pengarah LPP, Azulita Salim, berkata daripada RM350 juta yang diperuntukkan untuk skim di bawah Agrobank, sejumlah RM50 juta diperuntukkan kepada LPP.

“Kadar faedah 3.5 peratus yang ditawarkan kepada petani adalah sangat rendah bagi memastikan peladang yang mempunyai aktiviti pengeluaran industri asas tani dapat mengembalikan semula aktiviti dan memastikan mereka dapat menghasilkan pendapatan yang baik. 

“Ini (bantuan berkenaan) membantu mereka supaya hasil yang terbantut disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat dikembalikan pengeluarannya,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemui selepas program Pengerusi LPP, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh bersama media di dusun durian Petubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jelebu di sini, semalam.

Pada 5 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan kerajaan sebanyak RM350 juta melalui kemudahan pinjaman Dana Agrofood bagi memastikan kelangsungan pengusaha pertanian dan komoditi dalam sektor pertanian dan makanan menerusi PENJANA.
 
Kini, LPP mempunyai keahlian seramai 920,000 seluruh negara dengan 500 daripadanya mengusahakan penanaman durian di Jelebu (Negeri Sembilan), Bentong dan Raub (Pahang) serta Balik Pulau di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Azulita berkata semasa penguatkuasaan PKP, beberapa ahli LPP mengalami kesulitan terutama dalam memasarkan produk secara langsung kepada pengguna, yang mempengaruhi sumber pendapatan mereka.

“Selepas PKP, kita telah selaraskan semula aktiviti melalui 31 Pasar Segar Terkawal (PST) agar produk yang dikeluarkan oleh ahli dapat dipasarkan dengan baik dan pengguna juga mendapat produk yang segar,” katanya.

Sementara itu, Nik Muhammad Zawawi berkata LPP akan menggunakan peruntukan tersebut dengan berhemah untuk memastikan ia dapat memenuhi objektif kerajaan. – BERNAMA

- Advertisement -