Sultan Selangor bimbang rakyat tidak peduli SOP

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini menzahirkan rasa bimbang dan risau apabila mendapati ramai rakyat negeri itu yang semakin mengabaikan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

“Menerusi pemerhatian Baginda, ramai rakyat yang tidak lagi mematuhi garis panduan yang ditetapkan, seperti berada di tempat-tempat awam tanpa memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak sosial.
“Baginda sangat bimbang sekiranya masih ramai yang berdegil dan tidak mengamalkan norma-norma baharu ini, gelombang kedua penularan akan muncul dan menjejaskan ekonomi dan kehidupan seharian rakyat,” titah baginda dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, hari ini.

- Advertisement -

Sehubungan itu, Baginda menyeru agar semua rakyat terus mengamalkan disiplin yang tinggi dengan sentiasa memakai pelitup muka, membersihkan tangan menggunakan sanitizer atau sabun dan mengamalkan penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter.

“Jika tidak sihat atau sakit, jangan keluar ke tempat awam.

“Baginda tidak mahu rakyat terus hidup dalam suasana yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan, seterusnya boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” titah baginda lagi.

Dalam pada itu, Baginda turut menyeru agar rakyat menghargai jasa dan pengorbanan petugas di barisan hadapan khususnya di hospital-hospital dengan tidak menambah bebanan tugas mereka.

Titah Baginda lagi, selagi vaksin wabak Covid-19 belum ditemui, baginda berharap setiap rakyat berusaha sebaik mungkin untuk mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan kerana ia terbukti berkesan bagi menghapuskan wabak berbahaya ini.- HARAKAHDAILY 8/7/2020

- Advertisement -