PBN terdesak, rakyat terjerut: 9 soalan ragui PSR

rakyat
- Advertisement -

1 JULAI lepas adalah titik hitam dalam sejarah Pulau Pinang. Kenapa saya cakap titik hitam? Ini kerana perjanjian tergesa-gesa dan terdesak yang berisiko menjerut leher rakyat Pulau Pinang seluruhnya telah ditandatangani.

Ada yang terkinja-kinja keseronokan konon pembangunan idaman bakal menjadi kenyataan. Pembangunan apa itu yang bakal menebuk poket sekalian pembayar cukai jika kegagalan projek ini berlaku.

Tatkala kemelesetan ekonomi seluruh dunia pasca COVID-19 , tetapi Pihak Berkuasa Negeri (PBN) mahu berbelanja mewah atas hutang yang mahu dibuat.

Demi semata-mata untuk kepentingan rakan sama untung iaitu SRS Konsortium sebagai Rakan Pelaksanaan projek Tambak Laut Penang South Reclaimation (PSR) dengan gah perjanjian telah dimeterai .

- Advertisement -

Nasib nelayan Selatan Pulau Pinang terus tak terbela. Keparat-keparat politik terus bermain drama membuli masyarakat kelas bawahan yang tersepit di celah pembangunan yang tak seimbang.

Acuan pembangunan ini sebenarnya bakal menghalau secara halus masyarakat nelayan yang telah berkurun lama menghidupkan negeri ini.

Ya, pembangunan yang mahu dibuat ini bukan untuk nelayan miskin. Ia hanya selesa bagi konglomerat kaya mengisi 3 pulau mewah kelak. Kalau adapun masyarakat kelas bawah, mereka hanya ditempatkan di ceruk perumahan hujung-hujung yang bakal membentuk fenomena ‘urban slums’.

Apa untungnya dalam kira-kira ekonomi kalau kelas bawahan ini diberikan kondo mahal di atas pulau buatan tersergam indah? Mereka takkan mampu beli dan bayar kos servis di atas pulau tersebut.

Inikah wajah pembangunan yang sedang dipropagandakan oleh PBN kepada seluruh rakyat jelata?

Rakyat pembayar cukai yang tidak meneliti hujung pangkal acuan pembangunan yang dibawa akan terus menjadi anjing dan kucing buta dibuai dengan gula-gula manis terma-terma atas kertas yang mereka tak mampu fahami secara masak.

Jika benar majoriti rakyat yang faham dengan masak, mohon jawab 9 soalan ini.

(1) Berapa kerat di kalangan rakyat Pulau Pinang yang sekurang-kurangnya telah membaca ‘Executive Summary’ untuk laporan EIA ?

(2) Berapa ramai yang telah meneliti 72 perkara dalam kelulusan bersyarat EIA?

(3) Berapa ramai yang membaca 18 nasihat Majlis Perancangan Fizikal Negara?

(4) Berapa ramai yang meneliti penegasan 4 perkara daripada Kementerian Pertanian dan Asas Tani dalam Sidang Parlimen di era kerajaan sebelum ini?

(5) Berapa ramai tahu Social Impact Assesment (SIA) itu wujud tetapi dirahsiakan daripada penilaian awam? ‘Transparency’ tahi kucing!

(6) Berapa ramai yang sedar bahawa perjanjian 1 Julai lepas adalah tanpa memperhalusi SIA seperti yang dipersoalkan oleh bekas Exco?

(7) Berapa ramai tahu bahawa Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) HQ hanya ambil masa 2 hari untuk membaca semua maklum balas awam yang diserahkan oleh konsultan EIA?

(8) Berapa ramai tahu kelulusan EIA PSR ini ditandatangani oleh Ketua Pengarah JAS sebelum ini pada hari akhir perkhidmatan beliau kerana bersara?

(9) Berapa ramai tahu bahawa keputusan EIA yang ditandatangani pada 25 Jun 2019 ini sedang dicabar melalui Lembaga Rayuan yang berisiko EIA akan dibatalkan?

Dengan risiko ini, jika Pihak Berkuasa Negeri (PBN) telah menandatangani perjanjian bermakna mereka terdedah untuk dibuat tuntutan mengingkari kontrak .

Jika EIA dibatalkan melalui Lembaga Rayuan sehingga PBN tak dapat lagi teruskan projek bermakna tuntutan ingkar kontrak bakal berlaku.

Keparat politik ini berjanji atas nama kerajaan negeri. Maka bayaran tuntutan itu bukan keluar daripada poket mereka. Tapi ia akan keluar daripada kantung perbendaharaan negeri di mana pembayar-pembayar cukai negeri Pulau Pinanglah yang akan menanggung walau berapa bilion pun tuntutannya.

Siapa bijak dan siapa pula bakal merana menanggung hutang? Oh beginikah propaganda pembangunan yang digula-gulakan?

Projek PSR ini jelas ‘financially not viable’. Tak ada bank berani jamin bagi pembiayaannya. Semak ulasan UOB Kay Hian sejak Julai tahun lepas lagi. Ke sana ke sini delegasi Pihak Berkuasa Negeri mencari ruang pembiayaan dan melobi pelaburan.

Kini mereka semakin tersepit. Apabila bos besar mereka penjaga ‘gate’ kewangan di peringkat Persekutuan sebelum ini telah hilang kuasa. Perundingan 4 konsesi lebuhraya yang bertujuan beri nafas kewangan kepada pemaju SRS telah dibatalkan oleh Menteri Kewangan yang baru.

Maka lahirlah langkah terdesak memperkenalkan bon peringkat negeri yang bersalahan dengan Perlembagaan sepertimana yang telah dijelaskan dalam kenyataan media Consumers Association Penang – CAP kelmarin.

Situasi terdesak menimpa satu demi satu. Kehilangan access suntikan dana hilang seiring tumbangnya bos besar di peringkat Persekutuan.

Seterusnya cabaran kemelesetan ekonomi pasca COVID-19 dan terkini sehari dua ini serbuan demi serbuan SPRM terhadap skandal-skandal projek kerajaan sebelum ini. Mungkin ini pembalasan atas makbulnya ‘Doa seorang nelayan’ (satu filem pendek khas perjuangan lawan PSR oleh Andrew Han).

Sudah jatuh ditimpa tangga. Mereka terdesak dan tersepit , namun nelayan marhien terus dibuli dengan perangkap ‘taskforce pampasan’ paksa rela dan rakyat Pulau Pinang seluruhnya turut diletak tali di leher, menanti masa untuk dijerut perjanjian yang menjadi titik hitam dalam sejarah Pulau Pinang.

Sebelum parah, sebarkan tulisan ini untuk kesedaran masyarakat Pulau Pinang. Bangkit sebelum terus terjerut!

Perjuangan belum selesai…
Lawan sampai batal…
Penang tolak tambak!

ZIKRULLAH ISMAIL
Peniup Semboyan Kebangkitan – HARAKAHDAILY 8/7/2020

- Advertisement -