PAS Pahang sokong T’ganu asing penonton pawagam

- Advertisement -

TEMERLOH: PAS Negeri Pahang menyokong penuh keputusan Kerajaan Negeri Terengganu untuk melaksanakan pengasingan tempat duduk antara lelaki dan perempuan bukan mahram di pawagam-pawagam di negeri berkenaan.

- Advertisement -

Ia bertepatan dengan ajaran Islam dan kehendak majoriti rakyat Terengganu sendiri, justeru pihak lain yang tiada kena mengena dengan negeri itu dinasihatkan supaya tidak masuk campur dalam isu berkenaan.

Peraturan baharu itu bukan sahaja disokong oleh umat Islam, tetapi juga diterima oleh rakyat bukan-Islam dan juga mendapat reaksi positif dari syarikat pengusaha pawagam.

Pengurusan Syarikat Lotus Five Star Cinemas (LFS) Kuala Terengganu yang beroperasi di Paya Bunga Square menerima arahan Kerajaan Terengganu ini dan telahpun memulakan pelaksanaannya di pawagam miliknya.

Pengurus LFS, Mohd Zulmajdi Razali berkata, oleh kerana masih baharu dengan peraturan ini mereka bersedia untuk memperbaiki sebarang kelemahan bagi memastikan kepuasan pengunjung di mana sejak 1 Julai lalu, LFS telahpun menyediakan kawasan lelaki, perempuan dan pengunjung berkeluarga.

Mengulas isu ini, Pesuruhjaya PAS Pahang, Ustaz Rosli Abd Jabar menasihatkan orang ramai supaya menerima peraturan baru berkaitan pawagam ini kerana ia adalah untuk kebaikan semua pihak.

Beliau turut memberi reaksi dari tularnya berita desakan oleh pemimpin DAP yang meminta Putrajaya campur tangan isu pengasingan penonton ini.

“Apa yang mereka tidak puas hati sangat? Majoriti rakyat Terengganu beragama Islam. Bahkan masyarakat bukan-Islam di Terengganu pun tidak bising dengan peraturan ini.

“Kenapa mereka yang tiada kena mengena dengan Negeri Terengganu perlu melatah.

“Sementara punya kuasa memerintah negeri ini, Kerajaan Terengganu sewajarnya memanfaatkan setiap ruang untuk membuktikan bahawa sistem Islam memberikan kebaikan kepada sekalian rakyat tanpa mengira bangsa dan keturunan,” ujar beliau.

Sementara itu Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang, Ustaz Zuridan Mohd Daud pula menyifatkan peraturan mengasingkan penonton lelaki dan perempuan bukan mahram ini bertepatan dengan ajaran Islam yang mengutamakan usaha pencegahan perkara-perkara yang boleh mendatangkan unsur negatif.

“Ini termasuk apa yang dipanggil sebagai sad-az-zara’i’ iaitu menyekat perkara yang boleh mendatangkan mudarat lebih besar. Justeru Islam mengharamkan pergaulan bebas tanpa batasan antara lelaki dan perempuan bukan mahram.

“Sebelum timbulnya masalah khalwat, masalah zina, masalah Aids, masalah buang bayi dan sebagainya, maka pihak berkuasa perlu menyekat jalan yang mendorong pergaulan bebas,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, semua negeri yang dikuasai oleh umat Islam sewajarnya mencontohi usaha murni Kerajaan Terengganu ini. – HARAKAHDAILY 8/7/2020

- Advertisement -