Norma Baharu media berimej bersih dan integriti

- Advertisement -

LAPORAN berita yang tersasar dari maksud sebenar kenyataan oleh beberapa pengamal portal berita terhadap kenyataan atau ucapan individu memberi kesan yang mendalam terhadap profesionalisme kewartawanan. Berita salah lapor, salah petik, serta terpesong dari maksud kenyataan awal kerap menjadi polemik dalam pemberitaan di media akhir-akhir ini. Fenomena ini tidak harus di jadikan ‘Norma Baharu’ dalam konteks pemberitaan.

Justeru, gesaan kepada pengamal media berkenaan supaya lebih telus, amanah dan berintegriti mempertahankan profesionalisme mereka dalam melaporkan sesuatu berita bertepatan dengan etika sebenar kewartawanan Malaysia iaitu:

(1) Tugas utama wartawan adalah melaporkan kebenaran dan menghormati hak orang ramai untuk mendapat maklumat yang benar;
(2) Dalam melaksanakan tugas ini dia menghayati kebebasan memungut dan menyiarkan berita secara jujur serta berhak membuat ulasan dan kritik yang saksama;
(3) Wartawan hendaklah menggunakan cara yang wajar untuk mendapatkan berita, gambar atau filem dan dokumen;
(4) Sebarang maklumat tersiar yang didapati tidak benar hendaklah diperbetulkan;
(5) Wartawan hendaklah menghormati kerahsiaan sumber berita;
(6) Wartawan hendaklah berbudi pekerti ketika menjalankan tugas dan mengelakkan diri daripada plagiarisme dan hasutan, tuduhan tidak berasas serta rasuah dalam apa bentuk sekalipun;
(7) Wartawan hendaklah menghindari siaran berita rencana yang bersifat perkauman, melampau dan bertentangan dengan tatasusila masyarakat majmuk Malaysia;
(8) Wartawan hendaklah memahami undang-undang dan peraturan negara yang berkaitan secara langsung dengan profesion mereka.

- Advertisement -

Laporan berita yang tidak jelas dan tidak tepat ini bukan sahaja mengelirukan masyarakat awam, bahkan mencetuskan budaya tidak sihat di kalangan masyarakat.

Para wartawan perlu menjadi sebahagian ‘daie’ dalam masyarakat dengan memandu ke arah maklumat tepat sihat dan sejahtera. Gabungan gerak kerja berkonsepkan dosa dan pahala perlu diterapkan seawal pena mula menulis sepantas papan kekunci dipetik kerana wartawan ini sebahagian ‘aktor’ penting dalam membudayakan masyarakat yang sejahtera dan matang.

Akhirnya, gesaan tulus kepada semua pengamal media merangkumi editor dan wartawan lebih waspada dan teliti dalam membuat pelaporan berita dengan membuat rujukan sekiranya mereka samar terhadap apa-apa kenyataan atau ucapan. Bukan bersikap ibarat ‘Sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang’ dalam pelaporan mereka. Ke arah media berimej bersih dan berintegriti.

JAMAL NAJMUDDIN SULAIMAN
Jabatan Penerangan DPPNK – HARAKAHDAILY 8/7/2020

- Advertisement -