Perubatan komplementari turut diberi perhatian – Amzad

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim menerima kunjungan Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM). Sumber foto: GPMM
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan sentiasa memberi keutamaan dalam memastikan bidang perubatan komplementari diangkat sesuai dengan manfaatnya, demikian kata Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim.

Katanya, ia juga selaras dengan sumbangan besar khazanah ilmu masyarakat Melayu terdahulu dalam bidang penjagaan kesihatan agar dapat diwarisi dan dipelihara.

- Advertisement -

“Bertepatan dengan kerangka pelaksanaan kerajaan hari ini adalah untuk melestarikan perubatan tradisional tempatan ke peringkat yang lebih tinggi dan bersistematik.

“Kita pasti mampu bersaing jauh lebih baik di peringkat antarabangsa, memandangkan hutan kita kaya dengan sumber tersebut,” katanya dipetik dalam Buletin Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM) semalam.

Jelasnya, kerajaan amat berharap agar rakyat dapat memanfaatkan peluang yang terbuka luas dalam industri herba negara yang selama ini banyak syarikat asing mendapat manfaat dari pengeksportan kayu herba dan tumbuh-tumbuhan yang telah dipatenkan.

Terdahulu, Timbalan Menteri MOSTI itu menerima kunjungan hormat delegasi Gabungan Perawat Muslim Malaysia (GPMM) diketuai Dato’ Dr Ahmad Sabirin Arsyad di pejabatnya.

Ketika ditanya kepada ketua GPMM, Dato’ Dr Ahmad Sabirin tentang cabaran yang dilalui pengamal perubatan herba dan tradisional, katanya mereka perlu biasakan diri untuk ‘mampu’ bersaing terutama sekali dalam penerbitan kajian, penulisan jurnal dan mengemukakan data saintifik serta perlu perbanyakkan kajian herba tempatan untuk digunakan sebagai ubat.- HARAKAHDAILY 8/7/2020

- Advertisement -