Kedah-Perlis hasrat rancakkan pembangunan bersama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah sedia mempertimbangkan sokongan kepada Kerajaan Negeri Perlis berhubung kerjasama untuk merancakkan ekonomi di kawasan sempadan kedua negeri itu dengan negara Thailand.

- Advertisement -

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, perkara tersebut menjadi perbincangan beliau ketika pertemuannya bersama Menteri Besar Perlis, Dato’ Seri Azlan Man yang mengajukan perkara tersebut baru-baru ini.

Menurutnya, Perlis memohon sokongan dan kerjasama Kedah untuk pembinaan jalan baharu yang akan menyambungkan negeri itu dengan Changlun di Kedah melalui jalan Keselamatan dan Pembangunan (KESBAN) di pinggir sempadan Malaysia-Thailand.

Jelasnya, cadangan tersebut adalah untuk menghidupkan bandar-bandar di sempadan di mana akan bersambungan dengan lebuh raya baharu yang dirancang Kerajaan Persekutuan dan akan melalui Changlun dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Kedah pada dasarnya akan mempertimbangkanlah. Apa-apa projek yang akan membawa kebaikan kepada Kedah dan Perlis sebagai negeri adik-beradik kita akan bersetuju sepenuhnya,” ujarnya positif.

Maklumnya Dato’ Seri Azlan turut membangkitkan mengenai usaha untuk mempergiatkan penglibatan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dalam pembangunan di kedua-dua negeri itu. – HARAKAHDAILY 8/7/2020

- Advertisement -