Kedah aktifkan kembali Tabung Tengku Mahmud

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah akan mengaktifkan semula Tabung Tengku Mahmud yang telah diwujudkan pada Mei 2008 semasa pentadbiran diterajui Almarhum Tan Sri Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

- Advertisement -

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan perkara tersebut pada sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Pejabat Daerah dan Tanah Pendang, Kedah sebentar tadi.

Menurutnya, tabung yang dilancarkan di Hotel Istana Kuala Lumpur itu pernah mempunyai dana sebesar RM10 juta, namun kerana telah lama tidak aktif baki terakhirnya tinggal RM646,000 sahaja.

Maklum beliau, dana tabung tersebut bertujuan terbuka khususnya membantu rakyat negeri Kedah sama ada Islam mahupun bukan-Islam terutama dalam bidang pendidikan dan kebajikan.

“Jadi kerajaan negeri telah bersetuju untuk mengaktifkan semula pelan kutipan dan sumbangan-sumbangan melalui Tabung Tengku Mahmud yang mempunyai tujuh asas aktiviti yang membawa kepada penubuhannya pada tahun 2008.

Insya-Allah lepas ini banyaklah saluran-saluran kebajikan yang dapat dilaksanakan kepada rakyat Negeri Kedah melalui Tabung Tengku Mahmud,” ujarnya.

Terdahulu dalam sidang media itu Sanusi membentangkan mengenai persetujuan menyegerakan pembinaan masjid baharu Daerah Pendang dengan kos RM16 juta yang berkonsep masjid terapung di tasik berhampiran Pendang Lake Resort.

Kerajaan juga beritahunya memutuskan untuk menyerap 48 kakitangan Tadika Nuri sebagai staf Tadika Islam di Jabatan Agama Islam bertaraf lantikan kontrak, juga menambah jumlah penerima bantuan COVID-19.

Turut diumumkan beliau yang juga ADUN Jeneri adalah keputusan kerajaan negeri membayar saguhati tertangguh sejak tahun 2016 kepada pegawai masjid yang telah bersara melibatkan jumlah peruntukan RM300,000.

Ditanya mengenai status Hospital Pendang, katanya proses pembinaan sudah berada sekitar 30 peratus di mana terhenti sebelum ini kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan para pekerjanya sudah melalui saringan COVID-19.

Bagaimanapun 129 pekerja berkenaan didapati negatif dan prestasi kontraktor berada di pencapaian terbaik setakat ini di mana jangkaan siap adalah pada penghujung tahun 2021. – HARAKAHDAILY 8/7/2020

- Advertisement -