Debar menunggu detik 13 Julai

- Advertisement -

ORANG kampung pun mulai bisik-bisik pilihan raya mengejut akan diadakan. Terkejut juga sekalian rakyat. Ada jemaah di masjid ajukan soalan itu. Tapi ia sebenarnya tidak pelik.

Pemimpin atasan pun acap kali sebut isu sama. Ada pemimpin Umno membayangkan begitu. Tok Mat, timbalan presiden Umno juga sebut isu serupa. Bagi mereka kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang seperti tergugat.

Maksudnya tidak berapa kuat. Kelebihan dengan simple majoriti. Sebelum ini disebut bilangan ahli parlimen (MP) PN sebanyak 114 kerusi. Manakala Pakatan Harapan (PH) pula 107 dan seorang MP Bebas.

- Advertisement -

Jumlah itu belum diambil kira seorang MP di Sarawak keluar PKR Jun lepas. Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang, bekas naib presiden PKR keluar PH. Dia isytihar sokong kerajaan PN. Ini bermakna jumlah MP PN bertambah kepada 115 dan PH turun kepada 106.

Bekas Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian dan dua lagi MP juga boleh menambah sokongan moral buat PN. Akhir Mei lepas Baru mengumumkan sertai Parti Sarawak Bersatu (PSB). PSB parti pembangkang di Sarawak.

Baru begitu lama bersama PKR. Beliau juga seorang peguam hak asasi. Pada PRU lepas beliau menang di kerusi Parlimen Selangau. Beliau menyertai PSB alasannya kerana tidak sempat mendaftar parti baharu bagi menghadapi pilihan raya negeri Sarawak.

Alasan kedua tidak mahu perpecahan lebih besar rakyat Sarawak. Baru rupa-rupanya bukan keseorangan. Langkahnya turut dijejaki ADUN Batu Lintang, See Chee How.

Chee juga bekas PKR. Menurutnya dijangka hampir 80 peratus pemimpin akar umbi dan ketua cabang PKR di Sarawak menyertai PSB. Pergolakan PKR calar maruah PH di Sarawak.

PKR Sarawak kehilangan ramai wakil rakyat. Selain Baru dan Chee ada dua lagi MP keluar PKR. Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo) juga tinggalkan PKR.

“Kami, Ahli-Ahli Parlimen PKR isytihar keluar parti dan muafakat PH bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen,” kata mereka.

Episod itu bermula selepas Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin dipecat PKR. Sedangkan PKR Sarawak sebelum ini mempunyai enam MP. Sekarang Baru, Ali, Willie, Jugah Muyang (Lubok Antu) sudah angkat kaki.

Sekarang hanya tinggal Larry Sng (Selangau) dan Dr Michael Teo (Miri). Ini bermakna PKR kehilangan 67 peratus kekuatan kuasa parlimen di Sarawak.

Jugah paling berani

Antara MP terbabit Jugah Muyang paling berani. Dia menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri. Dia juga sokong Ketua Menteri Abang Johari Tun Openg. Kalau diambil kira potensi sekarang empat MP Bebas terbabit boleh berkiblat kepada PN. Tidak semestinya mereka menyertai gabungan parti terbabit.

Seandaian teori itu berlaku blok PN boleh bertambah kepada 119. Dan PH pula merosot kepada 102. Namun apa pun perdebatan hangat tetap muncul. Agenda pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat menjadi asbab utama.

Kerajaan baharu mahu Speaker baharu ganti Tok Arif Yusof. Namun PH mahu mempertahankan Arif.

Kata Ustaz Tuan Ibrahim seandaian PN gagal menukar Speaker kemungkinan lain boleh berlaku. Pilihan yang ada bubar parlimen. Tujuannya bagi mendapat mandat baharu. Biarpun begitu dengan sifir politik yang muncul sekarang tidak perlu gopoh gapah bubar parlimen. Tidak perlu tergesa-gesa.

Sidang Dewan Rakyat dijadual berlangsung 13 Julai ini. Ini bermakna lima hari lagi. Persidangan itu khabarnya diadakan selama 15 hari. Sesi pembukaan diadakan pada 18 Mei lepas.

Apa pun menjelang 13 Julai ini ramai yang gundah gelana. Macam-macam disebut pemerhati politik. Mengikut Tok Taki agenda persidangan itu membentang Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan.

Selain itu usul pelantikan Ketua Pembangkang. Turut disenarai pemilihan Ahli Jawatankuasa Terpilih Parlimen menggantikan jawatankuasa lama.

M FAQIH- HARAKAHDAILY 8/7/2020

- Advertisement -