Carum Perkeso, faedah jangka panjang – Hanifa Ahmad

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan, Dato' Hanifa Ahmad (berkopiah) menyampaikan 'mock cheque' bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) kepada balu allahyarham Harun Daud di kediamannya, hari ini.
- Advertisement -

PASIR MAS: Orang ramai terutama yang bekerja sendiri digalakkan mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk faedah bagi jangka masa panjang.

Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan, Pelaburan Dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Hanifa Ahmad berkata, banyak kelebihan diperolehi sekiranya mencarum dengan Perkeso terutama apabila berlaku kemalangan atau kematian.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan cek untuk bayaran Faedah Pengurusan Mayat (FPM) di kediaman Rosni Wati Abdullah, 50 di Kampung Padang To’ La dekat sini, hari ini.

Rosni Wati adalah balu kepada salah seorang mangsa tragedi bot karam di Kemasin Bachok, iaitu allahyarham Harun Daud, 57.

“Masyarakat kita masih ramai yang belum sedar tentang kelebihan mencarum dengan Perkeso, malah orang yang bekerja sendiri juga layak mencarum,” ujarnya.

Turut hadir pada majlis itu Pengarah Perkeso negeri, Nora Yaacob serta pegawai kanan Perkeso negeri.

Menurut Nora ketika ditemui memberitahu, balu serta dua orang anak allahyarham yang berusia 12 hingga 19 tahun turut mendapat Pencen Penakat sebanyak RM475 sebulan.

“Balu akan dibayar pencen seumur hidup, manakala anak-anak akan dibayar sehingga berusia 21 tahun,” ujarnya.

Nora turut menasihati orang ramai khususnya mereka yang bekerja sendiri supaya datang ke Pejabat Perkeso Negeri untuk mendapat penerangan berhubung cara pencaruman.

Allahyarham Harun adalah salah seorang daripada 20 mangsa yang terlibat dalam tragedi bot karam pada 29 Jun lalu yang mana lapan orang daripada mereka maut dan 12 orang lagi berjaya diselamatkan.- HARAKAHDAILY 8/7/2020

- Advertisement -