Ambil tindakan tegas ke atas Al-Jazeera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM) menggesa kerajaan Malaysia dan pihak berkuasa agar mengambil tindakan tegas keatas agensi berita Al-Jazeraa yang mengeluarkan laporan palsu mengenai Malaysia.

Malah MJMM juga mendesak siasatan segera keatas kenyataan imigran Rayhan Kabir yang menjadi responden laporan Al Jazeera.

- Advertisement -

Rayhan adalah individu yang dipercayai terlibat dalam dokumentari ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ disiarkan Al-Jazeera.

Menurut satu laporan media, lelaki terbabit sebelum ini dikesan membuat pelbagai dakwaan palsu berhubung layanan pihak berkuasa Malaysia kepada pendatang tanpa izin ketika negara ini menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membanteras penularan COVID-19.

Menurut Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah, tuduhan yang dilakukan oleh pihak berkenaan adalah tidak berasas.

Katanya lagi, Al Jazeera melemparkan tomahan dan dakwaan palsu serta telah menjejaskan reputasi nama baik Malaysia di peringkat antarabangsa.

Justeru itu, beliau mewakili gabungan Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) hari ini, tampil membuat satu laporan polis berhubung dua dokumentari yang disiarkan oleh media antarabangsa Al-Jazeera kononnya mendakwa Malaysia telah melakukan diskriminasi dan layanan teruk kepada imigran.

Dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat oleh Al Jazeera mendakwa berlaku diskriminasi membabitkan pendatang tanpa izin dari segi layanan terhadap mereka ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani wabak Covid-19.- HARAKAHDAILY 8/7/2020

- Advertisement -