Al Jazeera langgar etika kewartawanan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan agensi berita antarabangsa Al Jazeera menyiarkan laporan bias yang memburukkan Malaysia terus mendapat kecaman pelbagai pihak.

- Advertisement -

Malah, seluruh rakyat bersolidariti menyatakan bantahan keras ke atas laporan tidak beretika itu selain ramai yang tampil membuat laporan polis ke atas agensi berita terbabit.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Rosni Adam menyifatkan agensi berita antarabangsa, Al Jazeera telah melanggar etika dan prinsip kewartawanan.

Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam

Beliau berkata demikian merujuk kepada salah lapor sebuah dokumentari 101 East, Al Jazeera yang menuduh kerajaan Malaysia berlaku tidak adil dan rasis kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika menangani pandemik Covid-19.

“Al Jazeera telah melanggar etika kewartawanan dan penyiaran apabila membuat laporan yang ‘misleading‘ dan silap. Malah, majoriti yang menonton dokumentari itu memberi komen ‘dislike‘, menandakan laporan itu tidak diterima dan tidak disukai.

“Al Jazeera dituntut agar meminta maaf kepada Malaysia dan wajar menarik balik laporan tersebut,” tegasnya ketika dihubungi HarakahDaily, hari ini.

Tambah beliau, dakwaan Malaysia sebagai sebuah negara yang rasis dan xenofobia adalah tidak berasas.

Malah, memang termaktub dalam undang-undang negara sekiranya orang luar mahu masuk ke Malaysia, perlu disertai dengan dokumen yang sah supaya tiada masalah berbangkit.

Pada masa sama, beliau turut menggesa kerajaan menangani masalah PATI dengan serius kerana golongan ini jelas melanggar undang-undang negara dan antarabangsa.

Disamping itu, beliau turut menyarankan kepada rakyat Malaysia supaya menanam rasa cinta yang tinggi kepada negara selain berhati-hati dalam memberi komen kepada media luar.

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown‘ yang mengecam layanan Malaysia terhadap PATI ketika negara ini melaksanakan langkah menangani Covid-19.

Dilaporkan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima beberapa laporan membabitkan salah lapor agensi berita itu, dan kini pihak polis sudah pun mula membuka kertas siasatan bagi menyiasat isu terbabit.- HARAKAHDAILY 8/7/2020

- Advertisement -