Ada dalang di sebalik salah lapor Al-Jazeera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Salah lapor dokumentari sebuah agensi berita 101 East, Al-Jazeera dilihat berpunca daripada satu tindakan dengki sesetengah pihak dan wujud dalang di sebalik insiden ini, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohamad Nor.

- Advertisement -

Menurut beliau, tuduhan yang dilakukan agensi berita itu sangat dahsyat dan memburukkan nama Malaysia selain mencemar prinsip dan etika kewartawanan.

“Saya merasakan bahawa ada sikap dengki sesetengah pihak kepada kejayaan negara kita dalam menangani Covid-19 berbanding negara-negara maju yang lain seperti Amerika Syarikat, UK dan sebagainya.

“Alhamdulillah, dengan populasi penduduk lebih 30 juta, dengan kadar nisbah pesakit yang dirawat, kadar pesakit yang dijangkiti Covid-19 dan kadar kematian, Malaysia mencatatkan peratusan yang sangat rendah.

“Ini adalah satu kejayaan negara kita, bahkan Ketua Pengarah Kesihatan Dato’ Dr Noor Hisham diiktiraf sebagai antara doktor terbaik peringkat dunia dalam menangani pandemik Covid-19,” katanya.

Mengulas lanjut, menurut Dr Riduan, beliau menduga bahawa terdapat dalang atau pengkhianat negara yang berkongsi maklumat palsu tentang kerajaan Malaysia menangani Covid-19.

“Saya merasakan bahawa ada juga dalang negara kita yang berkongsi maklumat palsu tentang kerajaan PN menangani Covid 19, bukan semata-mata salah Al-Jazeera dan wartawan, tapi ada rakyat kita yang menjadi dalang yang menyebabkan negara kita mendapat nama yang sangat buruk di peringkat antarabangsa,” duga beliau.

Beliau pada masa sama amat menyokong tindakan Menteri Kanan (Keselamatan), Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob yang mendesak agensi berita itu membuat permohonan maaf serta mengemukakan bukti-bukti terhadap dakwaan mereka.

“Imigran ini dilayan dengan baik, mereka tidak ada dokumen, tidak ada satu negara pun yang membenarkan orang luar tanpa dokumen, masuk bekerja dan mencari rezeki. Inilah yang cuba diselewengkan oleh saluran berita Al-Jazeera,” adu beliau.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily hari ini bagi mengulas berhubung laporan dokumentari agensi berita antarabangsa, 101 East di bawah Al-Jazeera yang menuduh kerajaan Malaysia melayan PATI secara tidak adil semasa berdepan dengan Covid-19.

Dilaporkan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menerima beberapa laporan membabitkan salah lapor agensi berita itu, dan kini pihak polis sudahpun mula membuka kertas siasatan bagi menyiasat isu berkaitan.

Al-Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang mengecam layanan terhadap PATI ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani Covid-19. – HARAKAHDAILY 8/7/2020

- Advertisement -