Setiausaha Agung tak balik-balik

- Advertisement -

PADA pertengahan 1998, Setiausaha Agung PAS, Ustaz Abdul Halim Arshat telah diserang angin ahmar. Beliau tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai pentadbir parti lantaran keuzuran itu. Presiden PAS, Ustaz Dato’ Fadzil Mohd Noor dengan persetujuan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat menamakan Pengarah Urusan Harakah, Dato’ Hishamuddin Yahya untuk menjalankan tugas-tugas Setiausaha Agung PAS. Kemudian, dengan tidak semena-mena, beliau berjawatan Pemangku Setiausaha Agung PAS. Ramai kakitangan Pejabat Agung PAS tidak berpuas hati. Ada di kalangan mereka yang membuat bantahan kepada Presiden PAS. Arwah Pak Syed Mohamed menyimpan seluruh cerita ketidakpuasan hati ini.

Protes kakitangan Pejabat Agung PAS ini berlarutan sehingga Muktamar Tahunan PAS 1999. Seusai muktamar itu, ada dua gerakan untuk mempengaruhi Presiden PAS dalam melantik Setiausaha Agung PAS yang baru. Di kalangan kakitangan PAS, mereka berusaha memujuk Ustaz Fadzil supaya jangan lagi melantik Dato’ Hisham(uddin) sebagai Setiausaha Agung PAS. Di kalangan kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘profesional PAS’ cuba mencadangkan bekas calon Ketua Dewan Pemuda PAS yang tewas, Dr Mohd Hatta Ramli untuk jawatan tersebut. Alasan mereka mudah sahaja, dulu bila Ustaz Abdul Halim Arshat melepaskan jawatan Ketua Pemuda PAS pada 1989, Ustaz Fadzil melantik beliau sebagai Setiausaha Agung PAS. Maka, dibawalah hujah bahawa Dr Hatta adalah seorang profesional, boleh berbahasa Inggeris dan macam-macam lagi.

Saya bercakap dengan Ustaz Hassan, Ustaz Harun Taib, Ustazah Fatimah Ibrahim dan beberapa Ahli Jawatankuasa Harian PAS Pusat yang lain, bahawa calon terbaik untuk menjadi Setiausaha Agung PAS ialah Ustaz Nasharudin Mat Isa, pensyarah Fakulti Undang-undang UKM yang pernah berkhidmat di UIA. Beliau boleh berbahasa Arab dan Inggeris dengan fasih, di samping mengetahui bahasa Urdu dan Perancis. Beliau seorang ulamak lulusan dari Jordan dan pernah belajar di Darul Ulum Nadwatul Ulamak, Lucknow di India. Beliau juga belajar undang-undang di Scotland dan UIA sebelum mendalami undang-undang prosedur jenayah Islam di UKM untuk doktoratnya. Beliau baru sahaja mendapat undi tertinggi dalam pemilihan AJK Dewan Pemuda PAS Pusat ketika itu. Cadangan saya diterima positif oleh Ahli-ahli Jawatankuasa Harian PAS Pusat, dan Ustaz Fadzil juga bersetuju. Maka Ustaz Nasharudin dinamakan oleh Ustaz Fadzil untuk jawatan penting PAS itu.

- Advertisement -

Ketika saya sedang bercakap-cakap dengan Ustaz mengenai Setiausaha Agung PAS yang baru itu, tiba-tiba Ustaz membuka cerita, “Staf tak suka Setiausaha Agung ini kira OK lagi. Zaman ana dulu, Yang Dipertua Agung (PAS) yang bergaduh dengan Setiausaha Agung.”

“Tahun bila itu? Sape Setiausaha Agung itu, Ustaz?” saya bertanya.

“Masa ana Ketua Pemuda (PAS Pusat), dalam tahun ’73, lepas kita buat (Kerajaan) Campuran.

“Masa ini, Datuk (Mohd) Asri (Haji Muda) lantik Ustaz Abu Bakar Hamzah jadi Setiausaha Agung PAS, ganti Ustaz Baharuddin (Abdul) Latif. Masa Mesyuarat Agung (Tahunan PAS) ’71, selepas darurat, Ustaz Abu Bakar ini menang jawatan Naib Yang Dipertua Agung. Datuk Asri sebagai Yang Dipertua Agung, Ustaz Hassan Adli (Mohd Arshad) sebagai Timbalan (Yang Dipertua Agung). Ana sendiri sebagai Ketua Pemuda. Bila Datuk Asri lantik Ustaz Abu Bakar jadi Setiausaha Agung, dia pegang dua jawatan sekali gus, Naib Yang Dipertua Agung merangkap Setiausaha Agung,” panjang lebar Ustaz menjelaskan senarai pimpinan utama PAS ketika itu.

“Ustaz Abu Bakar Hamzah itu ada masalah dengan Datuk Asri ke, Ustaz?” saya mula mencari punca.

“Awalnya OK. Ustaz Abu Bakar ini tokoh utama di sebalik penubuhan Kerajaan Campuran. Dia yang banyak terlibat dalam rundingan. Dia juga yang buat kertas-kertas kerja untuk bawa hujah, yang kita boleh buat kerjasama politik dengan Perikatan. Sebab itu, bila kita mulakan Campuran ini, dia dengan Datuk Asri dibawa ke Kabinet. Datuk Asri jadi menteri, dia Setiausaha Parlimen. Tun (Abdul) Razak (Hussein) calonkan Ustaz Abu Bakar jadi Senator untuk masuk Kabinet.

“Ustaz Abu Bakar ini pegang Kementerian (Pembangunan Negara dan) Luar Bandar. Jadi, tiga bulan lepas jadi Setiausaha Parlimen, dia pergi ke England sebab hadir seminar pembangunan luar bandar anjuran (Persatuan) Parlimen Komanwel. Dalam hujung bulan Tiga (Mac 1973). Dalam jadual itu, program lebih kurang dua minggu. Habis seminar, peserta akan dibawa melawat projek-projek pembangunan luar bandar yang dibuat oleh kerajaan di sana,” terang Ustaz mengenai kisah awal perselisihan dua tokoh PAS itu.

“Jadi, Ustaz Abu Bakar Hamzah ini pergi England atas program Parlimen lah. Apa masalahnya?” saya tidak berpuas hati.

“Seminar itu kan dua minggu je. Sehabis seminar itu, Ustaz Abu Bakar ambil kesempatan untuk melawat bandar-bandar dan universiti di UK. Dia sempat berhubung dengan universiti tempat dia belajar (Hull University),” cerita Ustaz mengenai kisah awal pemergian Setiausaha Agung PAS.

“Ustaz Abu Bakar ini belajar di England ke, Ustaz?” saya teruja dengan maklumat baru yang disebut oleh Ustaz.

“Ustaz Abu Bakar ini dulu belajar di (Madrasah) Alawiyah (Arau). Lepas itu, masuk Kolej Islam (Malaya – KIM) di Kelang, tapi tak lulus. Lepas dia gaduh ngan Datuk Asri, dia pergi England belajar. Universiti itu terima dia belajar, terus masuk kelas Master, tanpa ada ijazah. Balik itu, jadi pensyarah di UKM,” cerita Ustaz telah teralih kerana pertanyaan saya. 

“Lepas itu, Ustaz Abu Bakar pergi ke Eropah pula. Dia pergi Sepanyol, melawat kota-kota Andalusia. Sampai ke Maghribi. Dia suka Maghribi sebab bandar tua di sana itu, Fez, banyak kesan sejarah Islam. Yang paling dia suka, Fez itu ditulis dalam bahasa Arab, ‘Fa Alif Sin’ sama dengan ejaan PAS,” Ustaz kembali kepada cerita asal. 

“Sebenarnya, lawatan-lawatan ini dah makan masa lebih dua bulan. Dia macam dah terlupa tanggungjawab dia sebagai Setiausaha Parlimen dan Setiausaha Agung PAS. Dia hanya kirim telegram kat menteri dan Pejabat Agung PAS beritahu dia ada di mana.

“Dari Maghribi itu, dia melawat pula bandar-bandar Eropah dari Granada sampai ke Budapest. Masa di Budapest ini dah bulan enam (Jun 1973). Ertinya, dah lebih dua bulan dia tinggal kerja. Ini yang buat Datuk Asri marah,” Ustaz mula memberitahu punca.

“Apa Datuk Asri buat,” saya terus panasaran.

“Datuk Asri tau, kuasa melantik dan memecat Setiausaha Agung ini di tangan dia. Tapi, Datuk Asri tak gopoh. Dia tak mahu jadi kecoh, sebab kita duk dalam kerajaan. Dalam tengah bulan Jun (1973) itu, Datuk Asri bawa isu ‘Setiausaha Agung tak balik-balik’ ini ke dalam mesyuarat Jawatankuasa (Kerja) Agung (PAS). Kami ambil keputusan, untuk kirim telegram kat Ustaz Abu Bakar, suruh dia balik segera.

“Tapi lepas sebulan, dia tak balik-balik juga. Datuk Asri dah sakit hati. Banyak kerja Pejabat Agung dah terbengkalai sebab Setiausaha Agung takde. Ana sebagai Setiausaha Kerja, buat kerja dengan arahan Setiausaha Agung. Kita sepatutnya buat Mesyuarat Agung (Tahunan PAS) ’73 itu dalam bulan Empat (April 1973), sebab Setiausaha Agung takde, tangguh ke bulan Enam (Jun 1973). Lepas itu, tangguh lagi ke bulan Sembilan (September 1973). Kerja-kerja di Kementerian Luar Bandar pun sama. Boleh rosak imej kita dalam Kabinet.

“Dalam mesyuarat Jawatankuasa Agung bulan Tujuh (Julai 1973), Datuk Asri dah hilang sabar, dia cadang lucutkan jawatan Ustaz Abu Bakar sebagai Setiausaha Agung berkuat kuasa esok (26 Julai 1973). Tapi Ustaz Abu Bakar kekal sebagai Naib Yang Dipertua Agung. 

“Datuk Asri tunjuk ana sebagai Setiausaha Kerja untuk memangku jawatan Setiausaha Agung PAS. Sejak hari itu lah ana menjadi Setiausaha Agung PAS, walaupun sebagai Pemangku. Jawatan ini ana pegang sampai tahun ’79. Tanggungjawab pertama ana adalah untuk mengendalikan Mesyuarat Agung yang dijadual akan dibuat dua bulan kemudian. 

“Masa ini ana jadi AJK WAMY, Ketua Pemuda (PAS Pusat). Sebab itu, ana lepaskan jawatan di WAMY itu kat Ustaz Yahya (Othman) dan Dewan Pemuda (PAS Pusat) pilih Ustaz (Abdul) Wahab (Yunus) jadi Ketua Pemuda. Tapi bila ana dah tak jadi Ketua Pemuda dalam Mesyuarat Agung pada September ’73, ana dipilih sebagai Ahli Jawatankuasa (Kerja) Agung. Lepas itu, Datuk Asri lantik ana secara rasmi sebagai Setiausaha Agung PAS,” cerakin Ustaz mengenai peralihan jawatan beliau dari Ketua Pemuda PAS kepada Setiausaha Agung PAS akibat ‘kehilangan’ Ustaz Abu Bakar Hamzah.

“Ustaz Abu Bakar tak marah ke?” saya beralih semula kepada Ustaz Abu Bakar.

“Marah itu tak lah. Tapi, inilah puncanya Ustaz Abu Bakar Hamzah bertanding jawatan Yang Dipertua Agung PAS dalam Mesyuarat Agung tahun ’73 itu,” terang Ustaz lagi.

Kisah pertembungan antara kedua-dua tokoh besar PAS ini saya akan sebut dalam siri yang lain.

Semoga Allah mengampuni Ustaz.

MOHD FADLI GHANI – HARAKAHDAILY 7/7/2020

Dato’ Mohd Asri Haji Muda, Yang Dipertua Agung PAS. Setelah lapan tahun mengetuai Kerajaan PAS Kelantan (1964-1972), beliau dilantik sebagai Menteri Kemajuan Tanah dan Tugas-tugas Khas.
Ustaz Abu Bakar Hamzah, seorang pemikir PAS yang progresif. Beliau adalah tokoh utama di sebalik terbentuknya kerjasama PAS dan Perikatan. Beliau dipilih sebagai Naib Yang Dipertua Agung PAS sejak 1971, dilantik pula sebagai Setiausaha Agung PAS. Setelah Kerajaan Campuran PAS-Perikatan terbentuk pada 1 Januari 1973, beliau dilantik sebagai senator dan menjadi Setiausaha Parlimen Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar.
- Advertisement -