Peneroka pemangkin ekonomi, masa depan negara

- Advertisement -

TAHUN ini, negara dan rakyat khususnya golongan peneroka berdepan cabaran yang getir dengan penularan wabak pandemik COVID-19. Kerajaan sedar akan kesukaran dan kepayahan yang dihadapi rakyat, oleh yang demikian, kerajaan menghulurkan pelbagai bantuan dan inisiatif bagi membantu rakyat demi meneruskan kelangsungan hidup.

Kita maklum bahawa peneroka di saat ini juga turut berdepan dengan kepayahan dalam mengharungi kehidupan seharian. Kejatuhan harga minyak sawit dunia dan kekurangan permintaan sebelum ini turut menjejaskan sumber pendapatan negara terutamanya peneroka.

- Advertisement -

Penularan wabak pandemik COVID-19 turut menambahkan lagi kepayahan yang dihadapi oleh peneroka. Pelbagai inisiatif dan usaha dilakukan kerajaan untuk memulihkan serta merancakkan kembali ekonomi negara ketika negara telah hampir bebas dari wabak pandemik COVID-19.

Negara-negara pengeksport utama minyak sawit dunia seperti China dan India telah menambahkan lagi jumlah import minyak sawit Malaysia hasil dari usaha berterusan Kerajaan mempromosikan minyak sawit negara. Harga minyak sawit yang dilihat hampir kembali stabil ketika ini adalah hasil dari usaha kerajaan yang berterusan untuk memastikan harga komoditi utama negara dapat memanfaatkan sekalian peneroka.

Usaha berterusan kerajaan terutamanya Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memastikan negara dan rakyat terutamanya peneroka menikmati kehidupan yang sempurna wajar diberi pujian dan penghargaan.

Sempena Hari Peneroka pada tahun ini yang bertemakan “Peneroka Perintis, Berani dan Suka Cabaran”, golongan peneroka digesa menyahut seruan kerajaan agar mengadaptasikan keadaan semasa yang penuh cabaran ini untuk menjadi lebih berdaya maju, berani mendepani keadaan semasa serta cabaran yang bakal dihadapi supaya menjadi lebih produktif dan berdaya saing.

Peneroka disaran untuk maju ke hadapan dalam sektor ekonomi negara dan bukan hanya menjadi peneroka semata-mata. Peneroka harus merintis jalan untuk mengembangkan lagi sumber mereka dalam pelbagai sektor hiliran yang boleh menjana pendapatan tambahan selain yang diperolehi dari hasil tanaman mereka.

Disamping itu, mereka perlu menjadi lebih inovatif dan produktif untuk mempelbagaikan lagi sumber pendapatan mereka. Peneroka perlu mempersiapkan diri dengan keberanian dan kecekalan dalam menghadapi cabaran dalam usaha untuk memajukan diri sesuai dengan peredaran semasa dan perniagaan dunia era globalisasi tanpa sempadan.

Justeru, golongan peneroka harus bersedia untuk bersaing dan berdaya saing untuk menjadi lebih berjaya dan kekal relevan dalam dunia perniagaan dan pertanian saat ini.

Untuk mencapai status maju dan menjadi peneroka yang berjaya, golongan peneroka haruslah berkerjasama di semua peringkat tidak kira generasi pertama, kedua mahupun ketiga. Kerjasama dan usaha yang digembeling mampu mengangkat setiap generasi peneroka di Felda ke arah yang lebih baik dan mencapai tahap ekonomi serta kesejahteraan yang lebih gemilang.

YB TUAN HAJI AWANG HASHIM
Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat
Timbalan Menteri Sumber Manusia – HARAKAHDAILY 7/7/2020

- Advertisement -