Peluang jana pendapatan melalui TEKUN Mobilepreneur

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: TEKUN Nasional membuka peluang bagi golongan yang hilang mata pencarian akibat penularan wabak Covid-19 untuk menjadi rider bagi syarikat penghantaran makanan, barangan dan keperluan harian terutamanya golongan belia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Dato’ Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata sejak ia diwujudkan pada April 2020, skim pembiayaan tanpa faedah ini telah meluluskan 215 permohonan rider e-hailing.

- Advertisement -

“Bagi membantu lebih ramai usahawan untuk menceburi bidang ini namun tidak mempunyai modal membeli motorsikal, TEKUN Nasional telah mewujudkan Program TEKUN Mobilepreneur 2.0 yang pembiayaan maksimum sehingga RM10,000.

“Sebelum ini pembiayaan hanya RM2,000 pada TEKUN Mobilepreneur 1.0 yang berfokus kepada rider yang mahu membaiki motorsikal dan memasang aksesori tambahan,” ujar beliau ketika ditemui di Majlis Pelancaran TEKUN Mobilepreneur hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Setiu merangkap Pengerusi TEKUN Nasional, Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata lebih 450 orang rider e-hailing berminat menyertai Program TEKUN Mobilepreneur ini dan dijangka TEKUN Mobilepreneur 2.0 akan menarik 500 e-hailing rider.

“Untuk fasa 1, kita jangka 500 orang rider dan kini 215 telah diluluskan dan fasa 2 pula 500 orang rider juga dan kini 48 orang yang telah mendaftar, 5 orang telah diluluskan permohonannya.

“TEKUN Nasional juga akan mengeluarkan satu lagi skim iaitu TEKUN Business Recovery Scheme (TBRS) yang akan ditawarkan pada 13 Julai ini. Kita mensasarkan 10 ribu hingga 12 ribu pemohon bagi skim ini,” kata beliau semasa ditemuramah di Menara Kembar Bank Rakyat.

Orang awam yang berminat boleh melayari laman sesawang TEKUN Nasional di www.tekun.gov.my atau laman Facebook TEKUN Nasional untuk mendapatkan maklumat lanjut.- HARAKAHDAILY 7/7/2020

- Advertisement -