18 penguat kuasa dalang seludup migran

PDRM bawa kertas siasatan ke Pejabat Peguam Negara

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Polis Johor telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kes 18 pegawai serta anggota polis dan tentera kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan pendatang asing dan dadah kepada Pejabat Peguam Negara.

- Advertisement -

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua mereka yang ditahan pada 18 Jun lepas oleh pihaknya kini menunggu arahan daripada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Baki lima lagi suspek merangkumi tiga pegawai imigresen, seorang anggota polis marin yang masing-masing ditangkap pada 24 Jun serta seorang penolong pengarah imigresen yang ditahan pada 2 Julai lepas sedang dilengkapkan.

Ayob Khan juga menegaskan pihaknya tidak akan berhenti melakukan siasatan dan operasi bagi mengesan suspek-suspek yang terlibat, katanya pada sidang media, di sini hari ini. 

“Ini bukanlah sekadar hangat-hangat tahi ayam, iaitu hari ini buat operasi setelah itu berhenti,” katanya  ketika mengulas mengenai perkembangan kes penahanan 23 anggota dan pegawai penguat kuasa yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan migran.
 
Beliau juga ditanya mengenai status siasatan lelaki ditembak mati oleh pengawal keselamatan ketika cuba menyamun sebuah bank serta menahan tebusan di FELDA Ayer Tawar 5, Kota Tinggi bulan lepas.

Ayob Khan berkata siasatan masih dijalankan dan pihaknya sedang menunggu laporan forensik di mana mendapati suspek bertindak bersendirian dan bukan atas arahan atau pengaruh pihak ketiga seperti yang didakwa segelintir pihak.

Katanya pujian juga harus diberikan kepada pengawal keselamatan terbabit kerana bertindak cepat. – BERNAMA

- Advertisement -