Laporan Al-Jazeera mengenai PKP Malaysia disanggah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Segala bentuk tindakan yang diambil terhadap pendatang tanpa izin di negara ini adalah atas keperluan keselamatan dan kesihatan negara, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

- Advertisement -

Beliau berkata semua negara di dunia tidak akan membiarkan pendatang tanpa izin bebas tanpa kawalan terutama ketika berdepan wabak termasuk pandemik COVID-19. 

Katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus membantu Jabatan Imigresen dalam menguatkuasakan Akta Imigresen 1959/1963.

“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), PDRM juga akan terus melipatgandakan usaha mengawal sempadan darat dan laut daripada terus dibolosi oleh pendatang tanpa izin, dan dalam masa sama memastikan tiada penganiayaan terhadap pendatang tanpa izin yang ditangkap,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Abdul Hamid berkata demikian ketika diminta mengulas dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ yang diterbitkan oleh agensi berita asing Al Jazeera
 
Beliau turut menegaskan laporan yang dikeluarkan oleh agensi berita tersebut yang mendakwa Malaysia melakukan diskriminasi terhadap pendatang tanpa izin itu adalah tidak tepat dan siasatan lanjut sedang dijalankan oleh PDRM.

Bernama difahamkan satu laporan polis telah dibuat oleh Jabatan Imigresen berhubung perkara itu. 

Al Jazeera sebelum ini menyiarkan dokumentari bertajuk ‘Locked Up in Malaysia’s Lockdown’ berdurasi 25 minit 50 saat yang mengecam layanan terhadap pendatang tanpa izin ketika Malaysia melaksanakan langkah menangani COVID-19.

Semalam, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata dakwaan itu adalah tidak berasas kerana Malaysia memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan untuk menyelamatkan orang ramai daripada COVID-19 tanpa mengira warganegara atau bukan warganegara. – BERNAMA

- Advertisement -