‘Itu bukan seni’ – Ustaz Roslan

- Advertisement -

BENTONG: Masyarakat awam diingatkan tidak menjadikan kebebasan berseni sebagai lesen kebenaran untuk semua perbuatan sehingga meremdahkan maruah dan kedaulatan negara.

- Advertisement -

Pengerusi Geng Ustaz Pahang, Ustaz Roslan Md Esa berkata, memelihara simbol rasmi negara merupakan tuntutan tanggungjawab jati diri setiap warganegara.

“Itu bukan seni, tetapi penghinaan kepada kedaulatan negara. Selama ini masyarakat Malaysia hidup aman damai, jadi tidak perlu timbulkan isu alasan kesenian sebagai hendak menspesifikasikan perbuatan yang menimbulkan kekeruhan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa.

“Kita tidak perlu naratif-naratif seperti ini untuk ganggu kestabilan, hilangnya keharmonian.

“Jadi, apa yang kita nak ialah rakyat dan keamanan diutamakan,” ujarnya kepada Harakah ketika ditemui di pusat pengajian Maahad Tahfiz al-Quran Dar al-Abrar di Bentong, Pahang baru-baru ini.

Roslan berkata demikian bagi mengulas kritikan Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong dari DAP yang mengkritik tindak balas kerajaan Perikatan Nasional (PN) terhadap isu visual mirip logo Jata Negara yang diubah suai pada buku kontroversi bertajuk ‘Rebirth: Reformasi, Resistance, and Hope in New Malaysia’.

Chiong berkata visual itu hanya satu karya seni yang dihasilkan daripada kebebasan berseni dan beliau menganggap PN terlalu sensitif tentang perkara ini.

Terdahulu, visual mirip Jata Negara yang didakwa diubah suai pada kulit muka hadapan yang diterbit dari Syarikat Gerak Budaya dan disunting oleh penulis Kean Wong mencetuskan kontroversi.

Akibat daripada itu, puluhan laporan polis dibuat oleh parti-parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pengubahsuaian visual mirip Jata Negara kerana disifatkan seperti menghina dan memperlekehkan simbol rasmi negara.

Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung penerbitan buku berkenaan manakala polis membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.

Tambah Roslan, disebabkan pemikiran pemimpin seperti ini menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal memastikan sebilangan masyarakat punyai rasa tanggungjawab memelihara dan menghormati simbolik negara.

“Bila tumbangnya kerajaan PH dan naiknya kerajaan PN, saya tengok perkara ini lebih terjaga dan terpelihara.

“Saya rasa rakyat juga nampak perkara ini dan rakyat kena bangkit dan pertahankan kerajaan yang memberi jaminan kepada masyarakat secara umumnya dengan mengambil kira kepelbagaian kaum dan budaya yang ada dalam masyarakat kita.

“Bagi pihak Geng Ustaz , saya nampak memang kita tidak boleh biar dan kami akan bermati-matian mempertahankan kedaulatan tanah air ini kerana kita sayangkan keharmonian dan kita sayang tanah air Malaysia kita yang tercinta ini.

“Jadi jangan sesiapa pun buat kacau dan ganggu, cuba-cuba keruhkan keadaan dalam kalangan masyarakat,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 6/7/2020

- Advertisement -