Guru-guruku ulamak pondok

guru
- Advertisement -

AKU lihat guru-guruku ulamak-ulamak pondok.

Mereka bukan malas bekerja untuk punya kebun ladang seperti orang lain. Tapi mereka tidak mahu menghabiskan masa mereka selain mengajar dan mendidik anak-anak muridnya.

Mereka bukan tak pandai cari harta. Tapi cinta mereka kepada ilmu menjadikan mereka tidak punya masa dan waktu untuk kumpul dunia.

Mereka bukan tak pandai bincang peluang-peluang perniagaan tapi hati mereka tidak berminat membicarakan suatu selain mengupas soal-soal ilmu.

- Advertisement -

Mereka bukan sombong untuk lepak-lepak bersama orang ramai di warung-warung. Tapi seluruh hidup mereka telah tenggelam dalam kemanisan ilmu lalu mereka gemar bersama-sama khazanah ilmu sama ada kitab-kitab atau alim ulamak.

Mereka tak banyak cakap bukan kerana mereka kedekut bicara. Tetapi mereka tidak mahu memutuskan hubungan zikir mereka dengan Allah. Kerana mereka telah merasai manisnya berbisik dengan Allah.

Mereka memilih hidup sederhana dan zuhud kerana mereka sudah nampak racun-racun dunia. Lalu mereka mengambil mana-mana yang selamat darinya.

Mereka bukan tidak mampu menjawab segala tuduhan orang kepadanya. Tapi mereka lebih melihat kepada hikmahnya dan mempercayakan diri mereka kepada Allah dan sangat yakin dengan pembelaan Allah terhadapnya. Mereka tidak mahu menyibukkan diri dengannya sehingga mengganggu urusan dengan Allah.

Mereka berbahagia dengan harta yang mereka ada walaupun orang ramai melihatnya sebagai kemiskinan.

Memadai bagi mereka berbaju Melayu, berkain pelekat dan serban di kepala. Bukan mereka tak pandai bergaya dengan pakaian gah, tapi hati mereka tidak selesa menarik perhatian orang dengan kemegahan zahir.

Guru-guruku ulamak pondok bersembunyi di celah-celah orang awam. Mereka tidak suka dikenali. Kerana bila dikenali mereka akan menjadi sibuk melayan manusia dan tiada masa lagi untuk mereka asyik dengan zikirnya.

Catatanku dari pengalamanku bersama mereka.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 6/7/2020

- Advertisement -